-pxf9oD4EJI Kerajaan had import barangan tertentu dari Eropah jika terus sekat minyak sawit - Dr Mahathir
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan had import barangan tertentu dari Eropah jika terus sekat minyak sawit - Dr Mahathir


Tarikh kemaskini: 24/03/2019





BANTING, 24 Mac (Bernama) -- Kerajaan mungkin bertindak balas dengan menghentikan pengimportan barangan tertentu dari negara Eropah jika mereka masih meneruskan sikap tidak adil dan diskriminasi terhadap minyak sawit negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata langkah tindak balas itu termasuk mengkaji kemungkinan membeli pesawat pejuang dari China sekiranya negara Eropah masih meneruskan rancangan untuk menyekat kemasukan komoditi itu ke negara mereka dari Malaysia.

"Jika mereka terus mengambil tindakan ke atas kita, (sekat kelapa sawit), kami akan mengkaji untuk membeli pesawat dari China atau mana-mana negara lain," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Sayangi Sawitku di Ladang East, Sime Darby Plantation, Pulau Carey di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Industri Utama Teresa Kok dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Dr Mahathir bagaimanapun menjelaskan tindakan membeli barangan dari negara lain sebagai langkah tindak balas bukan bertujuan melancarkan perang terhadap negara Eropah sebab Malaysia masih perlu membeli barangan mereka.

Justeru, katanya tindakan untuk mengurangkan ataupun menghentikan pengimportan barangan tertentu dari negara Eropah tidak akan dibuat secara tergesa-gesa dan kerajaan akan mengkaji impaknya terhadap negara sebelum mengambil sebarang tindakan.

Parlimen Eropah dilaporkan sedang mengharamkan penggunaan minyak sawit untuk minyak bio atau ‘biofuel’, sementara rangkaian runcit British, Iceland, dilaporkan sudah mengumumkan bahawa ia akan menghentikan penggunaan komoditi itu.

Malaysia adalah pengeluar utama minyak sawit dunia. Malaysia dan Indonesia menghasilkan hampir 90 peratus minyak sawit dunia.

Industri minyak sawit negara berhadapan  kritikan meluas dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana ia dikaitkan dengan penebangan hutan dan seringkali dituduh menjadi punca jerebu.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kempen anti minyak sawit oleh negara Eropah akan meninggalkan kesan terhadap pengeksportan minyak sawit Malaysia meskipun negara-negara terbabit bukan pengimport terbesar dari Malaysia.

"Sentimen anti kelapa sawit Eropah terhadap (Malaysia) kuat... eksport komoditi (Malaysia) ada kesan meskipun Eropah bukan pasaran terbesar," katanya.

Berhubung hasrat Filipina yang memohon pemberhentian sementara import minyak sawit dari Indonesia dan Malaysia, Dr Mahathir berkata kerajaan akan berunding dengan Filipina untuk menyelesaikan perkara itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir melahirkan rasa kecewa terhadap pengeluar produk makanan Eropah yang memasarkan lebih banyak produk makanan dengan label 'No Palm Oil' dan menyifatkan ia adalah hanya satu bentuk propaganda melindungi pasaran ekonomi mereka.

"Mereka tidak beri perhatian terhadap pekerja-pekerja (Malaysia) dalam ladang kelapa sawit.

"Kita akan ada seramai 600,000 orang akan hilang punca pendapatan sekiranya ladang sawit ditutup," katanya.

Perdana menteri berkata dakwaan negara Eropah bahawa penanaman kelapa sawit akan menjejaskan hutan dan binatang liar seperti harimau, gajah serta orang utan adalah tidak benar.

Selain itu, katanya, dakwaan bahawa minyak sawit beracun adalah tidak benar sama sekali, sebaliknya ia adalah cubaan untuk menggambarkan seolah-olah minyak itu tidak boleh dimasukkan ke dalam makanan, dan ini tidak boleh diterima.

"Untuk jaga pasaran minyak mereka (negara Eropah), mereka akan buat dakwaan kononnya minyak sawit bahaya untuk dimakan dan tidak sihat," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai lawatannya ke Pakistan, Dr Mahathir yang menyaksikan pesawat pejuang buatan China menyertai pertunjukan aerobatik, menyifatkannya sebagai sangat mengagumkan.

"Kalau kita terpaksa beli jet pejuang, kita ambil kira pesawat pejuang China," katanya yang menambah teknologi pesawat pejuang China melebihi teknologi barat.

Sementara itu, Teresa Kok dalam ucapannya pada majlis itu berkata, Kabinet telah meluluskan cadangan untuk mengehadkan perluasan kawasan tanaman sawit di negara ini kepada 6.5 juta hektar sebagai langkah memastikan kelestarian industri minyak sawit.

"Di samping itu, Kabinet juga bersetuju agar penanaman kelapa sawit tidak digalakkan di kawasan tanah gambut manakala penukaran guna tanah Hutan Simpan Kekal bagi aktiviti penanaman sawit atau tanaman pertanian lain dilarang," katanya.

Kira-kira 4,000 jemputan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri Kempen 'Sayangi Sawitku' yang julung kali diadakan bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan minyak sawit kepada sosioekonomi negara.

-- BERNAMA 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel