Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sambutan Gawai Dayak Nasional 2019 di Bintulu 17-19 Mei


Tarikh kemaskini: 31/03/2019





KUCHING, 31 Mac (Bernama) -- Sambutan Gawai Dayak Nasional 2019 dirancang untuk diadakan di Bintulu dari 17 hingga 19 Mei ini.

Pengerusi jawatankuasa penganjurnya Dr John Brian Anthony berkata tema sambutan tahun ini ialah “Bejalai Betungkatka Adat, Tinduk Bepanggalka Pengingat”, yakni bahasa Iban yang antara lain membawa maksud “Hayatilah Kebudayaan dan Asal Usul Anda”.

Beliau berkata sambutan tahun ini juga dijangka lebih meriah dengan penglibatan pelbagai komuniti kaum Dayak bukan sahaja dari Sarawak, tapi juga dari Sabah dan Kalimantan, Indonesia.

“Setiap tahun sambutan Gawai Dayak peringkat negeri diadakan sejak 53 tahun lepas lagi, dan kini banyak maklum balas dari orang ramai yang diterima yang menyarankan supaya lebih banyak acara dan aktiviti Gawai dianjurkan, dengan pendedahannya dibuat dengan lebih meluas menerusi radio dan televisyen, bagi mewujudkan kefahaman yang lebih baik berhubung kepelbagaian kebudayaan di seluruh Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata acara peringkat nasional yang julung kalinya diadakan itu dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dengan jawatankuasa penganjur turut melibatkan wakil daripada kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) peringkat tempatan bagi memberikan input teknikal kepada kementerian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dijadualkan menghadiri makan malam khas pada 17 Mei di Bintulu bagi menandakan permulaan sambutan itu nanti. 

“Pada pagi berikutnya perarakan kebudayaan Dayak akan diadakan di Bintulu, yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum Dayak mempamerkan persembahan pakaian serta muzik tradisionalnya, dan pada masa yang sama persembahan kebudayaan turut dipersembahkan di Rumah Tuai Henry Nuni, yakni rumah panjang Iban 35 pintu di Sg Gelam, Sebauh, kira-kira 24 km dari bandar Bintulu, sehingga 19 Mei,” katanya.

John Brian berkata Gobind juga dijangka menyertai para pengunjug sambutan Gawai itu di rumah panjang berkenaan untuk mengikuti upacara Gawai “Sandau Hari”, di samping menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan Dayak, termasuk adat lama kaum Iban “Nyabung Manuk”, atau sabung ayam.

“Kami turut menjemput kaum Dayak dari Sabah dan Kalimantan, Indonesia untuk bersama meraikan sambutan ini dalam usaha memahami persamaan dan kebudayaan kita dengan lebih baik,” katanya dan menambah mereka juga akan dijemput untuk mempamerkan persembahan kebudayaan masing-masing.

Beliau berkata jawatankuasa penganjur turut menjemput Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang disifatkannya sebagai “pejuang dalam mewujudkan pemahaman yang lebih baik di kalangan rakyat Malaysia dari pelbagai kebudayaan dan kaum" untuk merasmikan majlis penutupan sambutan di Bintulu pada malam 19 Mei.

“Sepanjang acara tiga hari itu juga orang ramai juga boleh melawat Festival Makanan Dayak di bandar Bintulu yang akan menampilkan hidangan masakan kaum Dayak yang asli dan makanan tradisional yang lazat,” tambahnya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel