Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Warga BHP, perunding dan kontraktor tandatangan ikrar bebas rasuah


Tarikh kemaskini: 03/04/2019





KOTA KINABALU, 3 April (Bernama) -- Seramai 290 warga Borneo Highway PDP Sdn Bhd (BHP) termasuk 40 perunding serta kontraktor hari ini melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai komitmen menerapkan nilai integriti dalam menjalankan amanah selaku rakan pelaksana projek (PDP) Lebuhraya Pan Borneo Sabah sekali gus menyokong usaha kerajaan membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Majlis menandatangani dan melafaz IBR itu diketuai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BHP Muhammad Fadzil Abdul Hamid dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Ja'afar Mahad, di sini.

Muhammad Fadzil dalam ucapannya berkata sebagai PDP, BHP memikul amanah daripada kerajaan selaku pemilik projek untuk melaksanakan pembinaan prasarana Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan tadbir urus berintegriti tinggi.

Beliau berkata Lebuhraya Pan Borneo adalah projek berskala besar yang memerlukan prosedur telus dan kawal selia ketat bagi memastikan tidak ada penyelewengan berlaku sepanjang proses pembangunan infrastruktur berkenaan dijalankan.

"Sejak mula beroperasi, BHP menggunapakai prosedur operasi standard selain tertakluk kepada kawal selia ketat oleh pemilik projek (kerajaan). Kami sedar bahawa hanya dengan memiliki integriti tinggi dan mematuhi prosedur operasi ketat, kami dapat menjamin kualiti prasarana yang sedang dibina," katanya.

Muhammad Fadzil berkata komitmen BHP memupuk integriti dalam kalangan kakitangannya diperkuatkan lagi dengan elemen profesionalisme yang juga nilai teras Program Transformasi Industri Pembinaan selain menandatangani Akujanji Perkhidmatan.

Sementara itu, Ja'afar dalam ucapannya berharap inisiatif diambil BHP bagi melafaz dan menandatangani IBR akan menjadi ikutan agensi kerajaan dan organisasi swasta lain bagi mewujudkan rangkaian kerjasama dengan SPRM dalam usaha berterusan memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel