Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Felda United gagal beraksi cemerlang di gelanggang sendiri


Tarikh kemaskini: 14/04/2019





MARAN, 14 April (Bernama) -- Penolong Ketua Jurulatih Felda United Mohamad Zahid Hashim, kecewa dengan prestasi anak buahnya yang hanya sekadar mampu mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Kuala Lumpur, walaupun dilihat mempunyai banyak peluang mencipta jaringan dalam aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak di sini malam tadi.

Katanya The Fighters sepatutnya mencipta sekurang-kurangnya tiga gol, berdasarkan peluang yang diperolehi sepanjang 90 minit perlawanan.

"Kita sepatutnya mendapat tiga gol dalam perlawanan ini, tetapi pemain tidak mengambil peluang itu. Dalam babak kedua permainan, kita telah bermain agak longgar dan memberi peluang kepada pihak lawan menjaringkan gol penyamaan.

"Kita nyaris melepaskan gol kedua kepada Kuala Lumpur… Apapun sepatutnya perlawanan malam ini kita boleh menang," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan malam tadi, jaringan Felda United dijaringkan Abdul Azim Rahim pada minit ke-34 sementara gol Kuala Lumpur dicipta oleh Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-57.

Mohamad Zahid berkata berikutan keputusan tersebut, penambahbaikan akan dilakukan untuk memastikan Felda United terus memberi cabaran dalam saingan Liga Super dan Piala FA.

"Kita akan bertemu Selangor pada saingan Piala FA selepas ini, dan saya tetap yakin dengan keupayaan Felda United. Jika dilihat pada perlawanan terdahulu juga, pemain kita bermain lebih bersemangat apabila turun menentang Selangor," katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Rosle Md Derus mengakui berpuas hati dengan kejayaan pasukannya mencuri satu mata di tempat lawan.

"Cuma pada babak pertama kita bermain kurang sedikit...pada separuh masa kedua kita berjaya bangkit sehingga nyaris dapat menjaringkan gol kedua. Penjaga gol, Mohd Sharbinee banyak menyelamatkan gawang Kuala Lumpur," katanya.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel