Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

E-aduan diwujudkan untuk lapor masalah berkaitan bauksit di Kuantan


Tarikh kemaskini: 14/04/2019





KUANTAN, 14 April (Bernama) -- Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Prosedur Operasi Standard (SOP) Aktiviti Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit Negeri Pahang akan mewujudkan satu laman sesawang  khas e-aduan untuk orang ramai menyuarakan sebarang masalah berbangkit berhubung pelaksanaan aktiviti perlombongan bauksit di sini tidak lama lagi.

Pengerusinya Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata laman sesawang berkenaan akan dikendalikan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) untuk memastikan setiap perkara dilaporkan diambil tindakan sewajarnya.

“Satu jawatankuasa pemantau juga akan diwujudkan, terdiri daripada wakil rakyat tempatan, serta agensi yang berkenaan untuk memantau setiap masalah yang dilaporkan menerusi e-aduan ini agar ia dapat diatasi,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Pendengaran Awam Penilaian Prosedur Operasi Standard (SOP) Aktiviti Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit Negeri Pahang yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Sesi pendengaran awam itu dihadiri oleh lebih 500 orang terdiri daripada ahli akademik, pengusaha dan pemegang lesen perlombongan bauksit, peneroka-peneroka Felda Bukit Goh, Bukit Sagu dan Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Bukit Goh.

Mengulas tentang sesi pendengaran awam yang diadakan itu, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan pelbagai reaksi dan makluman yang diberikan oleh orang awam serta ahli akademik semasa sesi bersama orang awam diadakan.

“Semua soalan dan masalah yang dikemukakan kami ambil perhatian. Ada sesetengah masalah yang diutarakan dapat diselesaikan, namun sebahagian lagi pada saya agak getir dan memerlukan  perbincangan yang khusus termasuk soal perjanjian antara penduduk Felda Bukit Goh dengan pengusaha perlombongan mineral itu.

“Isu ini agak kompleks dan kita akan lihat lebih teliti bagaimana untuk mengatasi masalah ini sama ada mereka perlu membuat perjanjian baharu atau sebaiknya,”katanya.

Berkenaan dengan draf SOP yang dibuat sebelum ini katanya, ia akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini sebelum disiarkan menerusi laman sesawang KATS dengan beberapa penambahbaikan dilakukan.

“Kita akan bersidang pada 19 April ini dan akan ambil kira apa yang dikatakan orang awam …pada saya penyediaan satu-satu SOP perlu dimurnikan dari semasa ke semasa dan tidak boleh statik dari prinsipnya jika kita tidak mahu keadaan kembali seperti dahulu, “ katanya.

Beliau berkata SOP setebal 174 muka surat itu hanya dapat dilaksanakan dengan efektif jika sekiranya penguatkuasaan dilaksanakan dengan baik dan tegas.

“Penguatkuasaan memang satu masalah bukan sahaja untuk perlombongan bauksit tetapi juga perkara-perkara lain kerana nilai yang ada pada diri kita sendiri, jika kita mematuhi peraturan yang telah ditetapkan, tidak akan timbul masalah pencemaran sehingga menjejas alam sekitar dan sebagainya.

“Sebenarnya perlombongan bauksit di negara kita bukan satu perkara baharu dan ia telah lama dilakukan di Pengerang Johor tanpa sebarang masalah terhadap alam sekitar. Isunya bukan anda tidak boleh melombong bauksit tetapi masalahnya bagaimana anda melombong bauksit,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel