Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Berganding bahu dan majukan Johor - Dr Sahruddin


Tarikh kemaskini: 14/04/2019





MUAR, 14 April (Bernama) -- Menteri Besar Johor yang baharu Dr Sahruddin Jamal menyeru rakyat bersamanya berganding bahu untuk memajukan lagi negeri.

Beliau berkata kemajuan yang dicapai itu dapat memastikan rakyat secara keseluruhannya menikmati kehidupan lebih selesa.

"Terima kasih kerana daripada awal bersama saya, saya diamanahkan sebuah tugas lebih besar untuk kita semua dan saya akan laksana dengan sebaiknya," katanya dalam ucapan ringkas setelah bertemu penduduk kampung halamannya di Kampung Batu 28, Lenga di sini hari ini.

Selain penduduk kampung, Dr Sahruddin turut meluangkan masa melawat ibunya Isniah Kasmongin, 72, serta anggota keluarganya di kampung itu.

Dr Sahruddin, 43, menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene pada pukul 9.30 pagi tadi.

Beliau dilantik Menteri Besar Johor ke-17 susulan peletakan jawatan Datuk Osman Sapian, 8 April lepas.

Sementara itu, Isniah berkata meskipun terdapat banyak desas-desus berhubung perlantikan Dr Sahruddin sebagai Menteri Besar, namun Isniah serta sembilan lagi anaknya tidak menyangka anak kelapannya itu dipilih sebagai Menteri Besar Johor.

Isniah berkata sebagai seorang ibu beliau bangga atas pencapaian anaknya itu yang berjaya memenuhi cita-cita suaminya Allahyarham Jamal Kasran untuk melihat anaknya berjaya menjadi seorang pemimpin.

"Dia (Dr Sahruddin) sendiri telefon makcik semalam maklumkan dia terpilih jadi Menteri Besar Johor. Masa tu hanya Allah sahaja yang tahu perasaan seorang ibu bila anaknya dilantik jadi pemimpin. Anak-anak yang lain dengar pun terharu, semua menangis gembira.

"Bila dah dilantik ni, makcik gembira dan bersyukur. Apa yang diharapkan, Isah (nama panggilan Dr Sahruddin) mampu jadi pemimpin yang baik, bertanggungjawab dan amanah mentadbir negeri,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel