Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hujan lebat tidak halang rakyat Indonesia di Johor, mengundi


Tarikh kemaskini: 14/04/2019





JOHOR BAHRU, 14 April (Bernama) -- Keadaan cuaca yang tidak menentu di sini, tidak menjadi alasan kepada warganegara Indonesia yang berada di negeri ini untuk tidak mengundi bagi Pilihan Raya Presiden (Pilpres) di Tempat Pemungutan Suara (TPS) Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI), hari ini.

Sekretaris Panitia Pemilihan Luar Negeri, KJRI Johor Bahru, Anang Fauzi Firdaus berkata proses pengundian berjalan lancar, walaupun hujan lebat sehingga 3 petang tadi dan lebih 2,000 pengundi sudah melaksanakan tanggunggjawab mereka sejak TPS berkenaan dibuka pada 8 pagi.

“Sebelum hujan ramai yang datang, ada juga yang sudah mula menunggu seawal 7.30 pagi tadi.

“Harap lebih ramai akan turun mengundi, walaupun dengan adanya hujan mungkin menyukarkan pengundi, tetapi (percaya jumlah akan terus naik) kerana ada beberapa kilang yang bersedia menghantar pekerja Indonesia (ke TPS) mengundi pada jam 3 hingga 6 petang nanti,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati rata-rata rakyat Indonesia yang berpeluang mengundi, bersemangat menunggu giliran masing-masing, dan berharap agar Pilpres berjalan dengan lancar dan bakal memilih pemimpin yang dapat melaksanakan tanggunjawab dengan baik.

Seorang pelajar berasal dari Jakarta yang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia, Muhammad Billiy Isbredputra,19, berkata dia baru pertama kali mengundi dan mengharapkan agar negaranya itu akan menjadi semakin maju, terutama dalam pendidikan.

“Siapa pun yang dipilih (Pilpres), semoga pemimpinnya tetap bertanggungjawab, cara memimpin juga ada misi dan visi yang menjadi perdebatan mereka,” kata pelajar dari Fakulti Kejuruteraan itu yang menyambung pelajaran di sini sejak dua tahun lepas.

Manakala, seorang buruh binaan, Subandi  Kasmuji, 34, berkata, ini merupakan kali kedua dia mengundi di TPS KJRI.

“Saya berharap rakyat Indonesia dapat pemimpin yang terbaik dan boleh memacu kemajuan serta pencapaian yang membanggakan,” katanya yang menetap di sini sejak 17 tahun lepas.

Seramai 5,906 warganegara Indonesia yang berada di Johor, layak untuk mengundi awal bagi Pilpres dan Wakil Rakyat 2019 penggal 2019-2024.

Seramai 58 petugas membantu melicinkan proses pengundian awal itu di sini.

Pada 8 April lepas, warganegara Indonesia di seluruh negeri ini yang menetap jauh dari KJRI Johor Bahru mula mengundi menggunakan Kotak Suara Keliling (KSK) dan berlangsung sehingga hari ini.

Seramai 74,466 orang direkodkan berdaftar sebagai pengundi KSK, merangkumi pekerja ladang dan kilang dan seramai 1,284 orang pula berdaftar secara undi pos dan pihak KJRI sudah pun menghantar kiriman undi pos kepada mereka yang terlibat mulai 25 Mac lepas.

Dalam Pilpres 2019, Presiden Joko Widodo (Jokowi) akan mempertahankan jawatan Presiden Indonesia untuk penggal kedua, bergandingan dengan Ma'ruf Amin, seorang ulama berpengaruh Indonesia, sebagai Naib Presiden manakala Prabowo, bekas ketua tentera akan bergandingan dengan bekas Timbalan Gabenor Jakarta, Sandiaga Uno.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel