Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kelas PPKI, sekolah berubah ceria hasil krativiti golongan muda


Tarikh kemaskini: 15/04/2019





KUALA TERENGGANU, 15 April (Bernama) -- Ceria dan kreatif.

Keadaan itu berlaku di Sekolah Kebangsaan Padang Hiliran, di sini apabila berlaku transformasi terhadap beberapa barang kelengkapan setelah mendapat suntikan kreativiti daripada golongan muda.

Program gotong royong yang dianjurkan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit baru-baru ini bukan hanya bertujuan mengubah suasana, sebaliknya untuk menarik perhatian pelajar terutama mereka yang istimewa. 

Meja yang tidak mempunyai sebarang lukisan diwarnakan dan dilukis dengan wajah animasi serta kebun yang bagaikan tidak terjaga diceriakan hingga bagaikan taman permainan.

Ia dilakukan secara bersama termasuk oleh kira-kira 40 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk mengubah suasana kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang menempatkan pelajar istimewa seperti autism, sindrom down dan disleksia.

Guru Besar sekolah tersebut Mat Saleh Said berkata jaringan kerjasama itu mampu memberi impak yang baik kerana guru-guru juga dapat berkongsi pendapat serta menyerap idea baharu dalam menceriakan sekolah dan kaedah pembelajaran.

“Program ini buat pertama kalinya melibatkan pelajar universiti dan agak bertuah apabila Pengarah Pusat Asasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dari UMT, Dr Laili turut hadir malah beliau memberi idea dalam memupuk minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi.

“Sekolah ini agak istimewa kerana terdapat kelas PPKI yang sememangnya perlukan transformasi dari sudut keceriaan,” katanya kepada pemberita di sini.

Selain pelajar UMT, ia juga melibatkan lebih 20 guru sekolah terbabit serta mendapat kerjasama Bernama Biro Terengganu dan UMT, sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

 Prof Dr Laili berkata minat pelajar untuk mencintai sains dan teknologi boleh dipupuk dari peringkat awal dan pendedahan menerusi paparan di bahagian tertentu terutama kawasan tumpuan serta laluan pelajar adalah salah satu cara terbaik.

“Pada masa akan datang sekolah ini boleh dijadikan sekolah angkat STEM dan kita akan mencari satu sudut yang sesuai untuk menunjukkan kehebatan STEM. Kita boleh bina ‘terowong’ yang mengandungi pelbagai maklumat tentang sains,” katanya.

Beliau yang turut berminat untuk mendekati pelajar istimewa terutama disleksia berkata pihak sekolah juga boleh bergerak secara bersama dengan PIBG dalam membantu pelajar meneroka sesuatu yang lain dari kebiasaan malah boleh menggunakan setiap ruang yang ada untuk dimanfaatkan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jumlah pendaki Gunung Kinabalu meningkat tujuh peratus

 
     

Malaysia harus berkembang pacu usaha ke arah kelestarian masa depan - Sultan Nazrin

 
     

Polis tahan lelaki dakwa Nora Anne dirogol Orang Asli

 
     

Terima keputusan Kabinet lanjut lesen Lynas

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel