Lkr5wiu3vn0 Pati ditahan imigresen ketika bekerja di Cameron Highlands
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pati ditahan imigresen ketika bekerja di Cameron Highlands


Tarikh kemaskini: 19/04/2019





CAMERON HIGHLANDS, 19 April (Bernama) -- Dua belas pekerja spa dan refleksologi antara 67 pendatang tanpa izin yang dicekup Jabatan Imigresen Pahang dalam satu operasi di beberapa kawasan di sini malam tadi.

Operasi Bersepadu (Sapu) yang bermula pada pukul 8 malam hingga 5 pagi tadi dilakukan oleh 35 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Pahang di lapan lokasi berbeza sekitar kawasan Brinchang dan Kuala Terla.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Pahang Azlinawati Mohd Zubli berkata ketika ditahan 11 wanita serta seorang lelaki pekerja spa dan refleksologi itu sedang asyik melayan pelanggan di sebuah premis.

"Serbuan di premis spa dan refleksologi itu dilakukan kira-kira pukul 8 malam dan pada ketika itu 12 pekerja dari Thailand serta China sedang asyik melayan pelanggan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan awal pagi tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil operasi yang dijalankan seramai 158 pekerja asing diperiksa dan daripada jumlah itu 67 orang termasuk 17 wanita ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Serbuan pertama dilakukan di premis spa dan refleksologi kemudian di tapak pembinaan di Brinchang dan terakhir  kebun sayur di Kuala Terla...mereka yang ditahan melibatkan warganegara Bangladesh, Indonesia, Thailand, China, Myanmar dan India yang berumur antara 23 hingga 55 tahun," katanya.

Dalam pada itu, Azlinawati berkata kesemua pendatang asing tanpa izin yang ditahan dibawa ke Pejabat Penguatkuasa Jabatan Imigresen Pahang untuk siasatan lanjut.

Katanya mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas.

Selain itu, siasatan lanjut turut dilakukan terhadap majikan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan PATI berada di premis dan Seksyen 55B akta sama kerana menggajikan pendatang asing tanpa permit sah.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel