Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Projek PSR: Kerajaan P.Pinang akan patuhi 18 nasihat MPFN, kata Chow


Tarikh kemaskini: 19/04/2019





GEORGE TOWN, 19 April (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang akan mematuhi 18 nasihat yang dikemukakan oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) sebelum melaksanakan cadangan projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini berkata cadangan PSR boleh dianggap telah dipersetujui oleh MPFN sekiranya kesemua nasihat yang dikemukakan dapat dipatuhi dan dilaksanakan.

Menurutnya kini kerajaan negeri dan SRS Consortium, sebagai rakan pelaksana projek, akan memberikan fokus kepada kerja-kerja fasa seterusnya iaitu melihat kepada rekabentuk dan sistem kewangan bagi pelaksanaan projek.

"Secara mudahnya cadangan untuk PSR telah diluluskan oleh MPFN tapi kita masih perlu mematuhi 18 nasihat yang diberikan, yang memerlukan kelulusan dari pelbagai agensi kerajaan pusat,” katanya dalam sidang media di sini.

Katanya Kerajaan Pulau Pinang mengemukakan cadangan projek itu bagi menjana pembangunan ekonomi negeri dan membiayai pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.

Chow berkata demikian sebagai menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad pagi tadi yang menyatakan bahawa MPFN tidak membuat sebarang kelulusan atau persetujuan ke atas PSR.

Beliau berkata kerajaan negeri dijangka mengambil masa satu hingga dua tahun untuk mematuhi kesemua 18 nasihat yang dikemukakan sebelum pelaksanaan projek dapat dijalankan.

Sementara itu, beliau berkata laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk projek PSR masih belum lagi belum mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Katanya, satu paparan awam akan dilakukan bermula 29 April ini di 10 lokasi yang terpilih untuk tempoh sebulan untuk mengumpul maklum balas daripada orang ramai mengenai projek itu.

"Ini merupakan paparan awam yang kedua selepas permohonan pertama untuk EIA telah ditolak oleh JAS, beberapa iklan akan dibuat bagi memberitahu orang ramai tentang tarikh dan lokasi paparan awam itu," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel