Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Isu Wakaf Abdul Cauder: Permohonan MAINPP batal saman pemula didengar 13 Jun ini


Tarikh kemaskini: 19/04/2019





GEORGE TOWN, 19 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 13 Jun depan untuk mendengar permohonan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi membatalkan saman pemula yang difailkan Muhamad Amin Abdul Rahman berhubung Tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang di Butterworth.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh turut menetapkan tarikh yang sama bagi Setiausaha Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Pendaftar Hak Milik Tanah/Pentadbir Tanah Daerah untuk membatalkan saman terhadap plaintif yang dikemukakan hari ini.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar permohonan MAINPP itu selaku defendan pertama, bagaimanapun peguam plaintif Ku Abdul Rahman Ku Ismail memaklumkan beliau belum meneliti semua hujahan daripada MAINPP yang diterimanya semalam dan memerlukan sedikit masa untuk menelitinya.

Pada 25 Feb lepas, Muhamad Amin selaku plaintif memfailkan saman pemula itu terhadap MAINPP, Setiausaha Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Pendaftar Hak Milik Tanah/Pentadbir Tanah Daerah dan menamakan mereka sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.

Dalam permohonannya, Muhamad Amin memohon satu pengisytiharan bahawa beliau adalah waris sah terhadap harta pusaka Kavana Ebrahim @ Burong, yang merupakan pemilik Tanah Wakaf Abdul Cauder, yang mempunyai locus (hak di sisi undang-undang) untuk mengambil tindakan terhadap defendan-defendan tersebut.

Muhamad Amin turut memohon satu pengisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 8 Dis 2012 berdasarkan kertas cadangan yang disediakan oleh defendan pertama adalah tidak sah dari awal dan digantung pelaksanaannya.

Plaintif juga memohon satu pengisytiharan bahawa hartanah yang dinyatakan dalam Surat Ikatan Amanah bertarikh 17 Ogos 1892 hendaklah dikembalikan kepada pusaka Kavana Ebrahim @ Burong dan didaftarkan atas nama plaintif sebagai pemegang amanah ke atas hartanah tersebut.

Beliau turut memohon satu pengisytiharan bahawa MAINPP tidak mempunyai locus untuk melakukan apa-apa tindakan terhadap plaintif dan penduduk-penduduk yang tinggal di dalam hartanah tersebut kerana defendan pertama bukan pemilik berdaftar ke atas hartanah itu.

Menerusi permohonannya juga, plaintif turut meminta pengisytiharan defendan ketiga telah melakukan kesilapan menolak kaveat persendirian yang dimasukkan oleh plaintif ke atas hartanah tersebut dengan alasan bahawa plaintif bukan waris dan tiada kepentingan ke atas hak milik hartanah tersebut.

MAINPP diwakili peguam Mohamad Aslam Mohamad Mydin manakala peguam Ayu Rohaiza Khazali mewakili defendan kedua dan ketiga.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel