Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

'Burger Pekak' murah jadi pilihan ramai


Tarikh kemaskini: 20/04/2019





SUNGAI PETANI, 20 April (Bernama) -- Bermula dengan membuat burger untuk anak lelaki sulungnya berusia sembilan tahun yang gemarkan makanan itu, terus memberikan idea kepada seorang peniaga Yusmalina Mohd Nawi, 37, dari Bedong dekat sini berniaga burger bajet dikenali sebagai 'Burger Pekak'.

Yusmalina yang memiliki Diploma Kejuruteraan Komputer menjual burger itu dengan harga serendah RM1.50 sebiji untuk burger ayam dan benjo manakala burger daging lembu RM1.80 sebiji di rumahnya di Taman Sungai Lalang, Bedong sambil dibantu suaminya Hamzah Saidin, 43 tahun.

Ketika ditemui Bernama di rumahnya baru-baru ini, dia yang mempunyai tiga anak berusia tiga hingga sembilan tahun itu berkata burger bajet yang dijual di rumahnya dengan diberikan nama 'Cafe D'Rumah' mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelanggan sejak beroperasi pada penghujung Februari lepas.

"Sebab apa saya dan suami bagi nama 'Burger Pekak', sebab burger kami burger bajet. 'Burger Pekak' ini ibarat kata macam untuk makan sendiri, guna bahan apa yang ada sahaja di rumah. Umpama orang Kedah selalu sebut kopi 'pekak', maggie 'pekak'. Kalau tambah telur, macam burger special itu, kami jual RM2 sahaja.

"Burger bajet kami jual ini sama saiz macam burger biasa orang lain jual, masih lagi sedap sebab roti burger ini saya panggang guna marjerin, daging bakar elok-elok selain ada timun, sos pedas manis dengan kicap penambah rasa, cumanya tidak ada mayonis dan sayur banyak macam selalu jual di kedai luar," katanya.

Yusmalina berkata burger bajetnya boleh habis terjual antara 40 hingga 60 biji setiap hari selain turut menerima tempahan untuk sebarang majlis.

Katanya jualan burger itu pada mulanya sebagai pemasaran untuk memperkenalkan kafe yang beroperasi di rumahnya itu bagi berniaga masakan panas seperti nasi goreng kampung namun tidak menyangka ia mendapat sambutan luar biasa termasuk daripada golongan kanak-kanak.

Yusmalina berkata masakan panas di kafenya itu sudah dijual bermula awal bulan ini yang dimasak oleh suaminya yang pernah bekerja sebagai tukang masak di hotel, malah harga yang dikenakan juga berpatutan serendah RM4 hingga RM5 sahaja.

Sementara itu, pelanggan tetapnya Falina Ramli, 33, berkata dia berpuas hati dengan kesedapan burger bajet berkenaan walaupun tanpa mayonis dan pelbagai sayuran.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel