Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

SUP Sarawak jadi penghubung di antara kerajaan persekutuan, negeri


Tarikh kemaskini: 21/04/2019





KUCHING, 21 April (Bernama) -- Peranan Setiausaha Persekutuan (SUP) yang bertugas di Sarawak amat penting sebagai penghubung dan pemudah cara  antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri, yang kini di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata SUP Sarawak Datuk Mansor Man.

Katanya memastikan kelangsungan hubungan dan kerjasama yang erat antara kerajaan  persekutuan dan kerajaan Sarawak untuk merealisasikan aspirasi di peringkat persekutuan dan negeri adalah antara tanggungjawab beliau sejak dilantik ke jawatan berkenaan pada 1 Ogos, 2017.

Mansor, yang merupakan SUP Sarawak yang ke-18, akan bersara wajib pada 10 Mei ini.

“Dalam tempoh satu tahun, sembilan bulan, 12 hari di Bumi Kenyalang banyak pengalaman, cabaran, kejayaan serta memori pahit dan manis yang saya perolehi di sini dan tidak akan saya lupakan sampai ke akhir hayat, insya-Allah.

Pada mulanya rasa berat dan tidak terfikir untuk berpindah ke Sarawak memandangkan tempoh berkhidmatan saya yang hampir hendak bersara wajib dan saya telah merasa saya akan berpencen di Jabatan Perkhidmatan Awam sahaja,” katanya Majlis Makan Persaraan Bersama Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan di Sarawak di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dollah dan Setiausaha Kerajaan Sarawak  Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

“Merungkai sedikit sejarah perjalanan karier saya dalam perkhidmatan awam sehingga sekarang, saya mula berkhidmat dengan kerajaan sebagai pegawai tadbir am sebelum menyertai pegawai tadbir diplomatik (PTD) pada 1991/1992 dengan jawatan penolong setiausaha di Kementerian Kesihatan Malaysia pada Julai 1983.

“Setelah itu, saya telah berkhidmat di beberapa kementerian termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pelajaran Malaysia dan jodoh saya sangat lama dan panjang bersama Perkhidmatan Awam,” katanya.

Sambil bergurau, Mansor beranggap diri beliau sebagai seorang PATI (Penjawat Awam Tanpa Isteri) di Kuching namun berkata isterinya, Datin Dr Faridah Aryani Md Yusof sangat memahami tugasnya dan memberi semangat serta sokongan moral yang tinggi.

Beliau turut merakam penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang telah memberi kepercayaan penuh untuk menjalankan tugas dan membantu merealisasikan aspirasi dan hasrat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri selama ini.

“Pastinya sukar untuk saya dan Pejabat SUP Sarawak menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan tanpa bantuan dan sokongan padu kerajaan negeri,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel