Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Persetujuan sokong pindaan perlembagaan bukti komitmen kebersamaan tanpa kira ideologi politik ADUN Sabah


Tarikh kemaskini: 23/04/2019





Oleh Noorazlina Jindeh

KOTA KINABALU, 23 April (Bernama) -- Persetujuan sebulat suara usul tergempar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi menyokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan di Parlimen menunjukkan komitmen kebersamaan tanpa mengira ideologi politik di negeri ini dalam merealisasikan perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah Tony Paridi Bagang berkata persetujuan sebulat suara Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah itu memberi harapan semula kepada rakyat negeri ini selepas tidak mendapat undian majoriti di Dewan Rakyat sebelum ini.

“Secara politiknya ia memberi merit kepada kerajaan semasa dan pada masa sama menguji komitmen Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata usul tergempar yang dibawa pada persidangan DUN Sabah itu membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk merealisasikan aspirasi rakyat di negeri ini dalam memperjuangkan hak di bawah MA63.

Pada Khamis lepas, DUN Sabah sebulat suara meluluskan usul tergempar menyokong pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

ADUN Karanaan Datuk Masidi Manjun ketika membentangkan usul berkenaan berkata usul itu juga bertujuan memastikan anggota Parlimen di Sabah meneruskan usaha untuk berunding dengan pihak-pihak berkenaan bagi melaksanakan pindaan itu di Parlimen secepat mungkin.

Dalam pada itu, seorang penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sabah Dr Lee Kuok Tiung berpendapat sekiranya pindaan perlembagaan itu dibawa semula ke Dewan Rakyat ia perlu ditambah baik dari segi intipati pindaan perkara itu.

Beliau berkata penambahbaikan itu juga perlu mencerminkan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak yang sekian lama mengharapkan hak sama rata dengan Semenanjung.

“Oleh itu tidak perlulah menyalahkan sesiapa apabila pindaan itu gagal mendapat undian sokongan dua pertiga di Parlimen dan sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada penambahbaikan intipati pindaan perkara itu,” katanya.

Beliau berkata merujuk kepada intipati pindaan perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini, pastinya rakyat di negara ini yang mempunyai kadar literasi tinggi mampu menilai kandungan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 9 April lepas, RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua dalam usaha mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti mana yang termaktub dalam MA63, namun RUU itu gagal menerima undi dua pertiga atau 148 undi yang diperlukan. 

Hanya 138 anggota Parlimen menyokong manakala 59 termasuk wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak tidak mengundi.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel