Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KDN pandang serius kanak-kanak dieksploitasi sebagai pengedar dadah


Tarikh kemaskini: 24/04/2019





KOTA KINABALU, 24 April (Bernama) -- Pembabitan golongan kanak-kanak yang dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam aktiviti pengedaran dadah perlu dikekang agar tidak berleluasa, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Menurut beliau isu itu antara yang dibincangkan di peringkat kementerian bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk mencari mekanisme mengatasinya agar kanak-kanak tidak dieksploitasi oleh pihak  tidak bertanggungjawab untuk kepentingan peribadi mereka.

"Apabila kita semakin bijak, penjenayah jadi lebih bijak, mungkin sebab mereka melihat ada lubang dari segi undang-undang yang ada.

"Sebab itu pengedar dadah gunakan kanak-kanak sebab mereka tahu apabila kanak-kanak yang mengedar dadah jika ditangkap akan diletak di pusat pemulihan sebab masih di bawah umur," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan program Jelajah Kesedaran Bahaya Dadah dan Konvoi Promosi Regatta Lepa Jubli Perak di sini, hari ini.

Mohd Azis yang juga Anggota Parlimen Sepanggar berkata menerusi operasi polis disertainya dalam membanteras penyalahgunaan dadah dan tinjauannya sendiri di kawasan Sepanggar, beliau melihat sendiri golongan kanak-kanak serta remaja bawah umur dieksploitasi sebagai pengedar dadah.

"Kebanyakan mereka ini tiada dokumen pengenalan diri dan ini agak merisaukan kita. Justeru, ini akan menjadi cabaran perlu kita hadapi kerana ia perlu dikekang daripada berleluasa," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azis berkata penganjuran konvoi itu menggunakan pendekatan serampang dua mata iaitu untuk mendampingi masyarakat bagi menyebar luas masalah penyalahgunaan dadah dan pada masa sama mempromosi penganjuran Regatta Lepa Jubli Perak di Semporna pada 26 dan 27 April ini.

Katanya konvoi itu disertai 100 peserta menggunakan motosikal berkuasa tinggi membabitkan Persatuan Sabah Big Bikers, Polis Trafik dan AADK.

Menurutnya konvoi itu yang memulakan perjalanan hari ini akan singgah di Kundasang, Ranau, Telupid, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu dan menamatkan perjalanan di Semporna.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel