Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tabung Haji terima deposit baharu berjumlah hampir RM1 bilion


Tarikh kemaskini: 27/04/2019





PASIR MAS, 27 April (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat kemasukan deposit baharu berjumlah hampir RM1 bilion selepas proses pemulihan dan penstrukturan semula institusi itu dilakukan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata perkembangan positif itu menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap badan pemegang amanah itu tetap kukuh walaupun menerima pelbagai tohmahan.

"Jumlah pendeposit baharu ini berjaya mengimbangi deposit keluar dan secara puratanya kewangan TH berjaya dikawal.

"Malah maklumat terkini daripada pengurusan TH menyatakan bahawa TH  kini berada pada landasan yang tepat dan prestasi kewangan TH akan bertambah baik pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pondok Raudhatul Ulum di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Mujahid turut menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Taqwa kepada Guru Pondok, Ali Ab Rahman Hassan bagi pembinaan pondok tersebut yang akan dibina di atas tanas seluas hampir satu hektar dengan kos keseluruhan berjumlah RM2 juta.

Mujahid berkata kerajaan akan terus memastikan TH kekal sebagai pemegang amanah yang dipercayai bagi mengurus dan menjamin simpanan serta pelaburan pencarum di negara ini.

"Saya yakin bila kita telus keyakinan rakyat kepada kewibawaan TH akan bertambah kukuh. Kita mahu pencarum mendapat gambaran yang jelas dan menerima faedah dengan cara yang betul," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan akan terus menanggung subsidi jemaah haji tahun ini sebanyak RM400 juta bagi menampung kos keseluruhan sebenar bernilai RM12,400 bagi setiap jemaah.

Katanya kerajaan juga akan memikirkan kaedah tertentu bagi mengekalkan kos perbelanjaan mengerjakan haji sedia ada walaupun kos sebenar sentiasa meningkat dari setahun ke setahun.

Kerajaan PH komited memulihkan Tabung Haji termasuk dengan memberi suntikan dana sebanyak RM17.8 bilion dan permulaan RM500 juta pada tahun hadapan, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel