BQTvpXiQ5zo APMM Terengganu tahan enam bot nelayan asing
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

APMM Terengganu tahan enam bot nelayan asing


Tarikh kemaskini: 28/04/2019





KUALA TERENGGANU, 28 April (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan enam bot nelayan Vietnam bersama 63 awak-awak termasuk tekong dalam tempoh dua hari operasi.

Pengarahnya Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata empat bot berkenaan ditahan pada Khamis antara pukul 7.30 pagi hingga 4 petang di kedudukan antara 141 hingga 153 batu nautika timur Kuala Terengganu, berhampiran kawasan cari gali minyak negara.

Beliau berkata, dua lagi bot ditahan pada pukul 1.20 tengah hari dan 1.55 tengah hari pada Jumaat di kedudukan 51 dan 53 batu nautika timur Kuala Terengganu ketika mereka leka menangkap ikan menggunakan pukat tunda ganding.

Dua buah bot yang ditahan pada Jumaat itu disyaki bot klon menggunakan nombor pendaftaran tempatan.

"Operasi menahan bot pertama hingga ke empat agak mencabar kerana anggota Kapal Maritim (KM) Pekan terpaksa mengejar selama dua jam sebelum dapat ditahan dan ditunda pulang ke Jeti Maritim Kuala Terengganu.

"Selain itu, tembakan amaran juga terpaksa dilepaskan ke udara kerana sikap degil tekong nelayan Vietnam yang enggan memberhentikan bot walaupun sudah diarahkan oleh anggota penguatkuasa APMM," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Terengganu, di sini, hari ini.

Kesemua 63 warga Vietnam ditahan yang berusia antara 15 hingga 59 tahun akan dibawa ke mahkamah hari ini bagi mendapatkan kebenaran reman.

Nilai rampasan termasuk enam bot, 3,000 kilogram hasil laut, 1,300 ikan baja, 7,000 liter diesel serta peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM6 juta.

Mengulas lanjut, Muhammad Suffi berkata hasil pemeriksaan turut menemui sebuah diari yang mengandungi nama aset kapal-kapal maritim yang sentiasa melakukan rondaan di kawasan perairan Laut China Selatan.

Menurut beliau, catatan itu menunjukkan nelayan Vietnam sentiasa mengawasi pergerakan kapal-kapal maritim termasuk di Terengganu.

"Nama-nama kapal ini ditulis dalam bahasa Vietnam tetapi kita ada anggota di atas kapal yang boleh membaca tulisan itu dan ia satu penemuan yang agak mengejutkan.

"Kita percaya nelayan ini akan mengawasi kapal maritim Malaysia dan apabila dikesan, mereka akan menghilangkan diri ke perairan antarabangsa bagi mengelak ditangkap," katanya.

Untuk rekod, sebanyak 32 daripada 533 buah vesel yang diperiksa oleh APMM telah ditahan sepanjang Januari hingga April tahun ini.

Ia membabitkan nilai rampasan sebanyak RM32 juta dengan nilai denda oleh mahkamah sebanyak RM2.3 juta.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel