Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Terengganu kenal pasti kontraktor berpotensi untuk projek ECRL


Tarikh kemaskini: 29/04/2019





KUALA TERENGGANU, 29 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu kini giat mengenal pasti kontraktor-kontraktor berpotensi untuk diketengahkan dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau telah meminta pegawainya berhubung dengan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu (PKMMT) bagi mendapatkan profil mereka yang berkaitan mengikut kepakaran tertentu.

Beliau berkata antara bidang pengkhususan yang boleh diambil peluang daripada ECRL ialah kerja-kerja tapak, mekanikal dan elektrikal, yang kepakarannya turut dimiliki kontraktor tempatan.

“Tujuan kita membuat ‘profiling’ bagi mendapatkan gambaran tentang keupayaan sebenar kontraktor yang ada supaya kita boleh bantu dalam projek ECRL setakat mana yang mampu.

“Ini kerana ECRL bukannya projek negeri tetapi kita boleh ‘facilitate’ (bantu) untuk berunding dengan kerajaan pusat serta kontraktor utama bagi membolehkan pemain tempatan dapat turut serta walaupun ada beberapa kelemahan dan kekurangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPKMT, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Datuk Mohamed Fadzill dan Yang Dipertua PKMMT Datuk Seri Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Terdapat kira-kira 4,500 anggota PPKMT di seluruh negeri dengan 50 peratus daripadanya terdiri daripada kontraktor gred G7 hingga G1.

Sementara itu, dalam perkembangan lain PPKMT turut merayu supaya kerajaan pusat mengambil kira penglibatan kontraktor bumiputera dalam projek pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 3 yang menghubungkan Kuala Terengganu dengan Kota Bharu.

Menurut Mohd Nasir, sebarang bentuk anugerah projek secara konvensional atau reka bina akan memastikan kontraktor-kontraktor kecil di negeri ini dapat menikmati peluang projek sekali gus menjana pendapatan kepada pembekal bahan binaan tempatan.

“Ia juga akan memastikan matlamat kerajaan pusat untuk melihat kontraktor bumiputera berjaya dan terus bersama di persada pembangunan ekonomi akan tercapai.

“Secara tidak langsung ia juga akan menukar persepsi sebahagian kontraktor bumiputera yang menganggap bahawa mereka telah dipinggirkan oleh kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel