Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

YSPM laksana program tingkat pretasi penguasaan Bahasa Inggeris sekolah luar bandar


Tarikh kemaskini: 29/04/2019





KOTA BHARU, 29 April (Bernama) -- Sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), Yayasan Sarana Pendidikan Malaysia (YSPM) menganjurkan program amal pendidikan di dua buah sekolah luar bandar terpilih di Kelantan dalam usaha membantu pelajar menguasai Bahasa Inggeris.

Pengerusi YSPM Tan Sri Abd Ghafar Mahmud berkata program khidmat sosial yang dibiayai sepenuhnya oleh Alliance Islamic Bank itu  diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badang dan SMK Penambang membabitkan 554 pelajar.

"Program yang dinamakan English Proficiency Program for Rural School Student ini akan diadakan selama empat bulan bermula Mei ini kepada pelajar tingkatan tiga dan lima dua sekolah berkenaan dengan  pembabitan 13 orang guru bahasa Inggeris," katanya kepada Bernama selepas merasmikan program tersebut di SMK Badang di sini, semalam

Turut hadir Naib Presiden Kanan Alliance Islamic Bank Zulfikar Hashman Jamalkhir dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Mohd Hassany Hashim.

Katanya program tersebut dilaksanakan melalui perkongsian kemahiran mengajar Bahasa Inggeris dengan modul yang dibangunkan khas oleh bekas guru cemerlang yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam mengajar subjek itu.

Abd Ghafar berkata modul Bahasa Inggeris itu dinamakan 'Guidance to Help Develop for Good Writing' dibangunkan khas berdasarkan buku teks Bahasa Inggeris di dalam dua set mengikut keupayaan dan pencapaian pelajar.

Katanya pelajar akan dibekalkan dengan dua set modul pembelajaran selain cakera padat yang mengandungi 245 jenis latihan manakala guru yang terlibat akan dibekalkan dengan bahan pengajaran yang mengandungi latihan bagi melaksanakan Pembelajaran Abad Ke -21.

"Kita harap program yang disediakan secara percuma ini akan membantu pelajar luar bandar  yang rata-ratanya daripada keluarga yang berpendapatan rendah ini mendapat keputusan Bahasa Inggeris yang cemerlang dalam peperiksaan nanti," katanya.

Sementara itu Zulfikar berkata bahasa Inggeris adalah bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik oleh pelajar bagi membolehkan golongan itu meneroka pelbagai bidang ilmu selain memberi peluang untuk bersaing di peringkat nasional dan global.

Bagaimanapun katanya kebanyakan pelajar luar bandar berdepan masalah dalam menguasai bahasa utama dunia itu berikutan beberapa kekangan termasuk faktor persekitaran, keluarga dan kewangan.

"Sehubungan itu kita mengambil inisiatif membiayai program ini dalam usaha membantu pelajar luar bandar menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih baik agar mereka mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menyambung pelajaran seterusnya memilki kerjaya," katanya.

Sementara itu Mohd Hassany berkata JPN amat menghargai khidmat sosial yang disediakan oleh YSPM dalam usaha meningkatkan tahap pencapaian Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negeri ini.

Katanya pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan pelajar di negeri ini menguasai bahasa Inggeris dengan baik namun hasrat itu belum tercapai dengan sepenuhnya kerana penguasaan pelajar dalam bahasa tersebut masih ditahap yang agak rendah.

"Mudah-mudahan program ini akan berjaya membantu meningkatkan prestasi bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negeri ini," katanya.

Untuk rekod YSPM adalah NGO yang ditubuhkan khas pada 2014 untuk bekerjasama dan membantu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)  dalam merapatkan jurang prestasi pendidikan antara bandar dan luar bandar.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel