Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lima buah bot nelayan dan hasil laut bernilai RM2 juta dirampas


Tarikh kemaskini: 29/04/2019




GEORGE TOWN, 29 April (Bernama) -- Sebanyak lima buah bot pukat tunda Kelas C dan lima tekong serta 20 awak-awak warga Thailand ditahan dalam Op Gelora di sekitar perairan Kuala Kurau, Perak kerana melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai, pada Sabtu.

Komander Pasukan Polis Marin(PPM) Wilayah Satu, ACP Rosman Ismail berkata pihaknya yang membuat rondaan di kawasan berkenaan telah menahan lima buah bot nelayan itu antara pukul 4 hingga 5.15 petang dan pemeriksaan mendapati mereka telah melanggar syarat lesen perikanan iaitu menangkap ikan di perairan kurang 12 batu nautika dari pantai.

"Dalam Op Gelora yang dijalankan bersama Jabatan Perikanan Pulau Pinang, kami menahan lima buah bot itu dan terdapat 25 lelaki Thailand berusia 42 hingga 51 tahun dalam bot milik majikan warga tempatan. Semua warga asing itu mempunyai dokumen perjalanan diri.

"Ekoran itu, kami merampas sebanyak 3,200 tan pelbagai jenis hasil laut dan peralatan menangkap ikan serta lima bot. Semuanya bernilai RM2 juta," katanya pada sidang media, di sini  hari ini.

Turut hadir pada sidang media di Jeti PPM di Batu Uban di sini, itu Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang Muhammad Yusof Nor Jasman.

Rosman berkata pihaknya menjalankan operasi itu selepas mendapat aduan nelayan yang mendakwa kawasan tangkapan mereka diceroboh oleh bot pukat Kelas C dan tindakan bot nelayan itu menyebabkan zon untuk bot Kelas A dan B terjejas kerana merosakkan habitat dan anak-anak ikan.

Katanya bot nelayan Kelas C yang menangkap ikan di kawasan kurang 15 batu nautika itu juga  dikesan mengutip hasil laut yang lumayan dengan menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan menggunakan pukat tunda.

"Pihak PPM akan bertindak tegas terhadap bot nelayan tempatan yang didapati melanggar syarat lesen menangkap ikan di kawasan tidak sepatutnya dan kami akan meneruskan operasi dari masa ke semasa dalam usaha membanteras kegiatan berkenaan," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai terdekat dan semua bot serta hasil tangkapan dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk tindakan lanjut. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel