Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perhutanan Kedah keluar kompaun lebih RM170,000 kerana ceroboh hutan


Tarikh kemaskini: 29/04/2019





BUKIT KAYU HITAM, 29 April (Bernama) -- Jabatan Perhutanan Kedah mengeluarkan kompaun lebih RM170,000 kepada individu dan syarikat yang melakukan kesalahan menceroboh Hutan Simpanan Kekal dan membawa keluar hasil hutan tanpa kebenaran sepanjang tahun lepas.

Pengarahnya Roslan Rani berkata, jumlah itu membabitkan lapan kes menceroboh serta meneroka Hutan Simpanan Kekal mengikut Seksyen 81 Enakmen Akta Perhutanan Negara 1985, tujuh kes melibatkan Seksyen 68 akta sama kerana membawa hasil hutan keluar tanpa kebenaran dan dua kes mengikut Seksyen 47 akta sama kerana memasuki Hutan Simpanan Kekal Tanpa Kebenaran.

“Bagi Jan hingga April ini, 16 kes telah kita ambil tindakan di mana tiga kes dalam proses mahkamah dan ia menunjukkan akan ada peningkatan sehingga penghujung tahun ini.

“Justeru, kita akan menggandakan operasi  selain memohon bantuan orang awam bagi menyalurkan maklumat berkaitan kes-kes kesalahan hutan yang dilakukan supaya dapat kita ambil tindakan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, R. Summugam yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Roslan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menceroboh kawasan hutan yang diwartakan sebagai hutan simpan dan perlu merujuk kepada pihak berkuasa sekiranya meragui status tanah yang ingin diteroka.

“Kita bertindak mengikut prosedur, jadi orang ramai tidak boleh mengaku itu tanah milik mereka kerana kita ada rekod hutan yang diwartakan dan kita telah kenalpasti, jadi saya harap mereka sedar perkara ini dan tidak melakukan pencerobohan hingga menjejaskan kelestarian kawasan hutan,” katanya.

Terdahulu, pada program lebih 500 pelajar mengambil bahagian menanam 500 pokok terdiri pokok Merawan Siput Jantan, Meranti Pipit, Meranti Temak, Meranti Tembaga, keruing Gondol, Tongkat Ali dan Sentul di kawasan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Kubang Pasu, di sini,.

Selain itu, 250 Pokok Karas disumbangkan kepada masyarakat setempat untuk dibawa balik dan ditanam di sekitar kawasan rumah atau kebun.

Sambutan Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada 21 Mac setiap tahun bertujuan menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan hutan, pemeliharaan dan pemuliharaannya untuk kesejahteraan masyarakat dan kestabilan alam sekitar.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel