Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Serbuan terhadap peniaga warga asing langkah paling realistik - Saifuddin


Tarikh kemaskini: 29/04/2019





KUALA NERUS, 29 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus melakukan serbuan di pasar borong bagi mengekang lambakan peniaga warga asing.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata buat masa  ini, tindakan itu adalah langkah paling realistik dan praktikal memandangkan pihaknya kekurangan anggota.

"Untuk cadangan letak anggota KPDNHEP di pasar borong misalnya,  kita ada 2,294 anggota. Bolehkah kita letak terus 24 jam, 30 hari, 365 hari untuk jaga satu pasar borong sedangkan pada masa sama  sempadan negara bolos dengan isu penyeludupan, barangan tiruan  masih berlaku, lambakan yang perlu diambil tindakan?

"Jadi saya fikir tindakan yang lebih praktikal untuk banteras perkara  ini ialah melakukan serbuan secara berjadual melibatkan penguat kuasa DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), polis, imigresen...laporan media juga kita  alu-alukan sebagai maklum balas berhubung kehadiran peniaga warga asing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa 2019 dan Food Bank Siswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini. 

Isu peniaga warga asing di pasar borong Selayang terus mendapat perhatian kerajaan setelah  didedahkan media pada awal tahun ini  sehingga tertubuhnya satu jawatankuasa khas yang dianggotai empat kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,  Kementerian Dalam Negeri, KPDNHEP serta Kementerian Wilayah  Persekutuan pada 1 April lepas.

Mengulas lanjut, Saifudin berkata setakat ini beberapa serbuan telah dibuat untuk mengatasi masalah itu dan mula menunjukkan hasil apabila jumlahnya dilaporkan berkurangan.

"Memang serbuan ada dibuat, rampasan ada, tangkapan ada, denda pun ada, namun tindakan ini tidak boleh terhenti setakat itu sahaja. Ia perlu sentiasa dibuat secara bersepadu melibatkan penguat kuasa beberapa agensi yang bertanggungjawab.

"Jadi saya fikir ini (serbuan) adalah tindakan yang lebih praktikal dan kerajaan sentiasa  berusaha membanteras kehadiran mereka yang memberi impak dari  segi harga kepada peringkat akhir iaitu pengguna," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel