Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Pulau Pinang pandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya, jejas aktiviti pelancongan


Tarikh kemaskini: 30/04/2019





GEORGE TOWN, 30 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini.

Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina.

"Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor.

“Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabkan oleh pertambahan jumlah obor-obor dalam perairan negeri," katanya  pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan  Heng Lee Lee (PH-Berapit)  yang ingin tahu apakah tindakan kerajaan negeri dalam mempertahankan aktiviti pelancongan dan juga sukan air/laut ekoran peningkatan kes sengatan obor-obor berbahaya yang semakin membimbangkan.

Mengulas lanjut, Yeoh yang juga ADUN Paya Terubong berkata terdapat banyak faktor yang mempengaruhi  peningkatan obor-obor antaranya penghijrahan obor-obor dari tempat lain kerana perubahan cuaca.

"Penghijrahan ini adalah fenomena lazim bagi hidupan laut. Faktor kekurangan oksigen dalam air laut, fitoplankton, suhu  dan kemasinan mempengaruhi populasi obor-obor. Selain itu kajian yang lebih terperinci juga diperlukan supaya punca utama boleh ditentukan dan seterusnya langkah-langkah pencegahan atau mitigasi dilaksanakan sewajarnya," katanya.

Katanya usaha lain turut dijalankan oleh kerajaan negeri  untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat antaranya kerajaan negeri akan bekerjasama  dengan Kementerian Kesihatan untuk memaklumkan kaedah menyelamatkan diri apabila disengat obor-obor serta bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk meneliti  cara-cara pembersihan untuk mengurangkan pembiakan obor-obor.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel