Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

134 kompaun bernilai RM78,000 hasil Ops Kesan Perkeso di Kedah dan Perlis


Tarikh kemaskini: 30/04/2019





LANGKAWI, 30 April (Bernama) --  Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kedah dan Perlis  mengeluarkan 134 kompaun bernilai RM78,000 hasil Ops Kesan Bersepadu di kedua-dua buah negeri itu sejak 8 April hingga hari ini.

Pengarah Perkeso Kedah, Shaharuddin Waled berkata operasi melibatkan 30 anggota dari kedua-dua negeri berkenaan dilaksanakan bermula di Alor Setar, Sungai Petani, Kulim, Perlis dan Langkawi supaya majikan mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekerja 1971.

Sepanjang tempoh itu, tiga kesalahan dikesan dilakukan majikan iaitu Seksyen 4  gagal atau lewat mendaftar perusahaan, Seksyen 5 gagal atau lewat mendaftar pekerja yang layak dan Seksyen 16 gagal daftar pekerja Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

"Sejak 8 April lepas sehingga hari ini, operasi melibatkan 30 anggota ini telah melakukan pemeriksaan di 793 premis perniagaan. Hasil operasi ini anggota telah mengeluarkan 134 kompaun bernilai RM78,000 di kedua-dua negeri itu," katanya kepada pemberita selepas Ops Kesan Bersepadu di Oriental Village, Teluk Burau di sini hari ini.

Terdahulu Shaharuddin bersama Pengarah Perkeso Perlis, Basharudin Khalid mengetuai operasi pemeriksaan di lokasi berkenaan.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata sepanjang tempoh operasi itu, antara alasan diberikan majikan ialah tidak tahu perlu mencarum, kegawatan ekonomi dan menunggu tempoh tiga bulan sehingga pekerja disahkan jawatan sebelum mendaftar.

"Kita rasa ada majikan yang memang tidak tahu perlu mencarum dan majikan yang tahu namun sengaja ambil mudah (dengan tidak mencarum). Tindakan majikan ini memberi kesan kepada pekerja sekiranya berlaku sesuatu.

"Jika mencarum Perkeso menjaga kebajikan pekerja bermula mereka keluar dari rumah untuk ke tempat kerja sehinggalah mereka pulang, kalau tidak mendaftar macam mana nak buat tuntutan?. Saya harap majikan sedar untuk mencarum dan jangan tunggu pekerja sudah disahkan jawatan tiga bulan baru nak daftar, sekiranya dalam tempoh itu berlaku sesuatu bagaimana dengan pekerja?," soal beliau.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel