Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Isu lambang salib di pangsapuri, kerajaan negeri ambil berat


Tarikh kemaskini: 30/04/2019





GEORGE TOWN, 30 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa mengambil berat perihal isu lambang salib di sebuh projek perumahan di Jelutong yang didakwa memaparkan lambang salib dengan menggunakan lampu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bandar dan Pembangunan Luar Bandar Jagdeep Singh Deo berkata Kerajaan Negeri hanya mengetahui perkara berkenaan setelah isu itu tular dalam media sosial.

Sejurus mengetahui perkara berkenaan, Jagdeep berkata Kerajaan Negeri telah mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mendapatkan maklum balas berkenaan lampu berbentuk lambang salib itu daripada arkitek perunding.

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanya menyedari mengenai perkara ini selepas berita mengenainya tersebar luas dalam media sosial. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah meminta MBPP supaya mendapatkan maklum balas berkenaan lampu berbentuk lambang salib di bangunan Grace Residence di Jelutong dari pihak arkitek perunding," katanya semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Jagdeep berkata demikian semasa menjawab soalan lisan ADUN Penaga (PAS), Mohd Yusni Mat Piah berhubung lampu berbentuk lambang salib di bangunan pangsapuri itu.

Jagdeep berkata Kerajaan Negeri turut memandang serius perkara berkenaan dan berusaha menyelesaikan perkara terbabit dan tidak menafikan isu itu mengundang ketidaksenangan dalam kalangan rakyat berikutan ia menyentuh sensitiviti agama. 

Jagdeep, yang juga ADUN Datuk Keramat berkata, berdasarkan maklumbalas yang diterima daripada arkitek perunding pada 14 Jan lepas, perkara itu adalah satu kebetulan dan tidak disengajakan.

"Kerajaan Negeri telah mengarahkan MBPP mengadakan perbincangan dengan arkitek perunding dan mengemukakan cadangan penyelesaian secara menyeluruh mengenai isu lambang salib itu dan pihak arkitek perunding kini dalam proses untuk mengemukakan cadangan kepada pihak MBPP,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusni dalam soalan tambahannya meminta agar pelan pembangunan dirujuk kepada Majlis Syura Kerajaan Negeri Pulau Pinang terlebih dahulu untuk dinilai sebelum diluluskan.

"Saya berpuas hati dengan jawapan Yang Berhormat bahawa perunding artikek bangunan itu terlepas pandang. Apa sahaja jawapan perunding arkitek boleh diterima namun kita bimbang ada niat tersirat oleh pemaju.

"Oleh itu, untuk mengelak perkara sama berlaku di tempat lain dan pada masa hadapan, saya harap Kerajaan Negeri akan lebih peka selain merujuk pelan pembangunan dirujuk kepada Majlis Syura Kerajaan Pulau Pinang untuk dinilai," katanya.

Baru-baru ini tular dalam media sosial mengenai sebuah bangunan pangsapuri di Jelutong yang memaparkan lambang salib dengan menggunakan lampu yang menimbulkan ketidaksenangan hati beberapa penduduk di kawasan berhampiran dan difahamkan mereka turut membuat laporan polis berhubung perkara itu.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel