Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

K'jaan P. Pinang mohon budaya penjaja dicalon dalam UNESCO


Tarikh kemaskini: 02/05/2019





GEORGE TOWN, 2 Mei (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang berhasrat mencalonkan "Budaya Penjaja" di negeri itu dalam Senarai Perwakilan Kebudayaan Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO di bawah Konvensyen Bagi Melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Manusia 2003.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata pencalonan ke dalam senarai itu memerlukan kelulusan daripada Jabatan Warisan Negara.

Beliau berkata surat telah dihantar kepada Jabatan Warisan Negara dan pejabat Timbalan Menteri Pelancongan, meminta jabatan itu membuat pencalonan gabungan dengan Singapura.

"Kerajaan negeri telah mengemukakan hasrat kepada Jabatan Warisan Negara bagi pencalonan bersama di bawah nama "Kebudayaan Penjaja di Singapura dan Malaysia," katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Ketika mencelah, Lee Khai Loon (PH-Machang Bubok) mempersoalkan kenapa pengiktirafan itu bukan di bawah nama Pulau Pinang tetapi Malaysia.

"Malaysia itu terlalu luas dan saya memohon agar pengiktirafan itu di bawah nama Pulau Pinang. Saya juga berharap pihak kerajaan negeri bertindak lebih agresif dalam memantau perkembangan permohonan tersebut agar kita tidak ketinggalan," katanya.

Yeoh berkata sebarang pemohonan untuk pengiktirafan itu perlu menggunakan nama negara.

"Memandangkan permohonan ini telah mendapat persetujuan daripada pihak Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, kerajaan negeri memberi jaminan akan sentiasa memantau segala perkembangan permohonan ini sehingga pengiktirafan ini dikurniakan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jumlah pendaki Gunung Kinabalu meningkat tujuh peratus

 
     

Malaysia harus berkembang pacu usaha ke arah kelestarian masa depan - Sultan Nazrin

 
     

Polis tahan lelaki dakwa Nora Anne dirogol Orang Asli

 
     

Terima keputusan Kabinet lanjut lesen Lynas

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel