Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis tumpas sindiket curi bateri pencawang telekomunikasi


Tarikh kemaskini: 02/05/2019





PENDANG, 2 Mei (Bernama) -- Polis menumpaskan satu sindiket mencuri bateri pencawang telekomunikasi yang membabitkan kerugian RM400,000 selepas menahan lapan lelaki dalam operasi di beberapa lokasi di negeri ini, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur antara 21 dan 25 April lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata tangkapan melibatkan tiga lelaki tempatan yang bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat telekomunikasi dan lima lelaki asing warga Pakistan yang juga pembeli dan penjual barang lusuh di daerah ini dan Kubang Pasu.

Katanya, dengan penahanan semua suspek yang berusia 20 hingga 50-an itu, polis menemui semula 190 unit bateri pencawang di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Permatang Tinggi, Bukit Tengah, Pulau Pinang yang sebelum ini dilaporkan hilang di negeri ini, Perak dan Kelantan.

“Siasatan mendapati suspek warga tempatan bekerja sebagai juruteknik di pencawang terlibat dan menjual setiap unit bateri seberat 40 hingga 50 kilogram kepada pembeli warga Pakistan pada harga RM3 hingga RM5 sekilogram.

“Bateri tersebut kemudiannya dieksport ke Pakistan untuk diproses mengambil plumbum di dalam bateri,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Zainuddi berkata, modus operandi kumpulan itu yang dipercayai aktif sejak enam bulan lepas adalah menggunakan kunci pendua untuk membuka pintu pagar dan pintu kabin bateri di pencawang terlibat dan membawa lari bateri tersebut.

 Katanya, polis masih memburu dua lagi suspek berusia 25 dan 30 tahun yang disyaki turut terlibat dalam kegiatan tersebut.

“Siasatan kita terhadap warga asing terbabit mendapati tiga daripada mereka telah berkahwin dengan wanita tempatan dan seorang daripada mereka telah memiliki taraf sebagai penduduk tetap,” katanya.

Katanya, kesemua suspek direman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-dua sekali.

Dalam pada itu, Zainuddin menasihatkan syarikat telekomunikasi agar berhati-hati dalam mengambil pekerja terutama mereka yang memiliki rekod jenayah lampau bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel