Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Projek terowong dasar laut masih diteruskan - Chow


Tarikh kemaskini: 03/05/2019





GEORGE TOWN, 3 Mei (Bernama) -- Projek pembinaan terowong dasar laut masih diteruskan dan setakat ini tiada sebarang halangan untuk ia diteruskan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini.

Chow berkata projek itu kini berada di peringkat akhir kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan oleh Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) sebelum diserahkan kepada perunding teknikal kerajaan negeri, HSSI Sdn Bhd untuk semakan dan pengesahan.

"Ulasan ke atas draf laporan tersebut telah dipanjangkan kepada pihak CZC pada bulan ini untuk pindaan sebelum dimuktamadkan dan dipersetujui kerajaan negeri.

"Pelaksanaan projek terowong dasar laut selanjutnya akan diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK). Bagaimanapun, buat masa ini projek ini masih diteruskan," katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini.

Beliau menjawab soalan Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) yang ingin tahu status terkini dan jumlah perbelanjaan yang telah dikeluarkan setakat ini untuk projek berkenaan.

Projek terowong sepanjang 7.2km itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai itu adalah di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

Chow yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Padang Kota berkata sehingga kini kerajaan negeri tidak melakukan sebarang pembayaran kepada pihak CZC bagi laporan kajian kebolehlaksanaan projek dasar laut.

Menurutnya, pembayaran hanya akan dilaksanakan setelah laporan kajian itu disahkan pihak perunding teknikal sebelum mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri.

Menjawab soalan Mohd Yusni mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek berkenaan, beliau berkata suruhanjaya telah menjalankan siasatan terhadap projek itu pada suku pertama 2018 dan setakat ini tidak ada sebarang pendakwaan.

"Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah dan wujudnya salah laku berkaitan projek ini," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mohd Yusni sama ada pameran umum mengenai pembinaan tiga lebuh raya akan diadakan untuk penduduk yang terjejas dengan projek itu, Chow berkata projek tiga lebuh raya itu telah mendapat kelulusan bagi kajian Penilaian Impak Sosial (SIA) dan pameran awam juga telah dilaksanakan selama sebulan.

"Pameran awam ini diadakan di sepanjang jajaran cadangan lebuh raya ini termasuk di Komtar, pejabat kerajaan dan tempat-tempat awam. Proses ini sudah pun berlalu. Pihak Jabatan Alam Sekitar setelah meneliti kajian SIA dan meluluskannya. Bagi kajian untuk projek terowong belum sampai peringkat ini," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jumlah pendaki Gunung Kinabalu meningkat tujuh peratus

 
     

Malaysia harus berkembang pacu usaha ke arah kelestarian masa depan - Sultan Nazrin

 
     

Polis tahan lelaki dakwa Nora Anne dirogol Orang Asli

 
     

Terima keputusan Kabinet lanjut lesen Lynas

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel