Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Unit rumah tidak terjual di Pulau Pinang menurun: Jagdeep Singh


Tarikh kemaskini: 03/05/2019





GEORGE TOWN, 3 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang mencatatkan penurunan bagi unit rumah tidak terjual berbanding negeri-negeri lain yang menunjukkan peningkatan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo.

Beliau berkata laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan jumlah unit rumah tidak terjual di Pulau Pinang menurun daripada 3,916 unit pada tahun 2017 kepada 3,502 unit tahun lepas.

"Walaupun ada isu unit perumahan yang tidak dapat dijual yang membelenggu kita dan semua bandar-bandar utama di Malaysia seperti di Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, saya gembira untuk nyatakan di sini bahawa kita dapat uruskan isu unit rumah tidak terjual.

"Ini kerana lain-lain negeri menampakkan peningkatan besar yang amat ketara, menjangkau sehingga dua hingga tiga peratus, terutama di Johor, kita boleh lihat angkanya meningkat setiap tahun," katanya pada sidang media, di Dewan Sri Pinang di sini hari ini.

Menurutnya laporan NAPIC turut menunjukkan beberapa negeri mencatatkan peningkatan iaitu Johor dengan 4,376 unit pada 2017 manakala 6,066 unit pada 2018; Perak 2,276 unit (2017) dan 5,367 unit (2018) serta Selangor 3,713 unit (2017) dan 4,693 unit (2018).

Jagdeep berkata ini menunjukkan bukan sahaja ada tarikan di Pulau Pinang untuk hartanah malah turut menarik pelaburan.

"Pulau Pinang kekal menjadi lokasi menarik buat pelaburan hartanah. Saya ingin menggesa semua rakyat Malaysia untuk melihat kepada Pulau Pinang untuk membuat pelaburan di sektor hartanah. Ini perkembangan yang baik, semasa lain-lain negeri menunjukkan kenaikan (rumah tidak terjual) sebaliknya Pulau Pinang menampakkan penurunan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep berkata permohonan kerajaan negeri untuk menaik taraf Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kepada majlis bandaraya dijangka akan dibentangkan kepada Kabinet seawal bulan ini.

Beliau berkata permohonan itu telah diserahkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraidah Kamaruddin.

"Permohonan itu telah disahkan oleh menteri di mana beliau nyatakan sememangnya semua keperluan ataupun kriteria yang diperlukan untuk sesuatu majlis dinaiktaraf kepada bandaraya telah pun dipatuhi.

“Saya dimaklumkan mungkin dibentangkan kepada Kabinet pada bulan ini. Kita harapkan bukan ini, jika tidak pun mungkin dalam masa terdekat ia dapat dibentangkan untuk dipertimbangkan. Kalau semua seperti mana menteri sudah dipatuhi, maka kita akan lihat satu Datuk Bandar yang baharu (tidak lama lagi)," katanya.

Pada sidang media itu, Jagdeep turut mengucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan MPSP kerana berjaya mengekalkan penarafan lima bintang dengan masing-masing mencatatkan markah 95.8 peratus dan 95.9 peratus.

-- BERNAMA  

   

 
 
     
   
 

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel