Pulau Pinang jadi lokasi pertama taklimat Skim PSK CBP
Tarikh kemaskini: 03/05/2019

SEBERANG JAYA, 3 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang menjadi destinasi pertama bagi Co-opbank Pertama (CBP) untuk mengadakan taklimat Skim Pembiayaan Sektor Koperasi (PSK) selepas majlis pelancaran skim itu di Kuala Lumpur pada 10 April lalu, kata Pengerusi CBP Kamari Zaman Juhari hari ini.
Katanya pemilihan Pulau Pinang sebagai destinasi sulung taklimat itu bukan hanya kerana ia lokasi kelahiran CBP, malah negeri ini juga memegang rekod cawangan CBP paling banyak dan keanggotaan paling tinggi iaitu 105 orang ahli daripada keseluruhan 706 ahli di seluruh negara.
Menurutnya dengan menggunakan tema 'Membangun Bersama CBP', skim itu merupakan salah satu inisiatif CBP dalam membantu sektor koperasi di Malaysia bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan dalam mengembangkan perniagaan mereka.
"Tujuan utama skim ini ialah untuk memberi peluang kepada koperasi-koperasi untuk membesarkan, menguruskan dan mempelbagaikan aktiviti perniagaan yang produktif... bukannya memberi pinjaman untuk membayar hutang,” katanya dalam sidang media di sini.
Beliau berkata CBP memperuntukkan dana RM700 juta untuk skim ini yang akan dikeluarkan secara berperingkat sehingga tahun 2020, di mana pemberian pinjaman diberikan berdasarkan kos projek yang ingin dibangunkan dengan nilai maksimum RM40 juta.
-- BERNAMA
|