pukp6LBNA6c Kerajaan sedia bincang dengan pemilik bagi penjualan tanah Kampung Baru
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan sedia bincang dengan pemilik bagi penjualan tanah Kampung Baru


Tarikh kemaskini: 05/05/2019





KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Kementerian Wilayah Persekutuan sedia berbincang dengan seluruh pemilik tanah di Kampung Baru berhubung penjualan tanah kepada kerajaan untuk pembangunan semula kawasan berkenaan. 

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata berikutan banyak gambaran 'songsang' berhubung cadangan kerajaan untuk mengambil alih tanah di Kampung Baru, pertemuan dengan pemilik tanah adalah perlu dalam usaha mencari jalan penyelesaian terhadap perkara itu. 

"Ada kata kerajaan mahu beli tanah dengan harga murah untuk menghalau orang Melayu dari Kampung Baru dan sebagainya, sebenarnya bukan. Kami cuma mahu mencari penyelesaian sesuai untuk mengekalkan pemilikan tanah Melayu di Kampung Baru di samping membangunkan kawasan itu menjadi penempatan moden dan bersepadu. 

"Kami juga tidak mahu Kampung Baru terpinggir daripada pembangunan pesat sekitar Kuala Lumpur kerana jika dibiarkan tidak membangun, nanti orang kata kami tidak mengendahkan keperluan orang Melayu di kawasan itu, jadi kami mahu aset mereka juga dapat dibangunkan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan bersempena ‘KL Car Free Morning’ di sini, hari ini. 

Sebelum ini, beliau berkata pihaknya mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Kemajuan Kampung Baru (PKB) dan Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) serta sebahagian daripada pemilik tanah bagi membincangkan perkara itu. 

"Ada tanah sampai berpuluh-puluh nama pemilik sehingga mereka tidak tahu apa perlu dilakukan. Jadi jika mereka bersetuju untuk jual tanah dapatkan tunai ataupun apartmen daripada pemaju itu terpulang kepada mereka, yang penting kita dapat duduk berbincang, cari mekanisme menyelesaikan masalah mereka," katanya.

Pada 22 April lepas, Khalid dipetik sebagai berkata kerajaan memerlukan dana RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah di Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan sistematik orang Melayu di tengah ibu kota.

Katanya dana itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau ‘runcit’ oleh pemilik tanah bersama pemaju.

Namun, pelbagai cadangan turut dikemukakan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), antaranya PKB yang mahukan kerajaan menyediakan rumah transit kepada pemilik tanah sekiranya berhasrat untuk membangunkan semula kawasan Kampung Baru. 

Terdahulu, Khalid melepaskan kira-kira 800 peserta 'OrphanCare Superheroes Charity Run' bersempena KL Car Free Morning di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

Pengerusi OrphanCare, Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata selain menggalakkan masyarakat menyertai aktiviti sihat pada hujung minggu, program larian itu turut bertujuan mengumpul dana bagi Yayasan Orphancare untuk melindungi bayi yang terbuang. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel