Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan negeri pastikan bantuan enam beradik kehilangan ibu, disegerakan


Tarikh kemaskini: 05/05/2019





REMBAU, 5 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri akan memastikan bantuan bagi enam beradik yang kematian ibu mereka selepas terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah pada 25 April lepas, disegerakan. 

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata bantuan itu perlu disegerakan bagi memastikan enam beradik ini mendapat pendidikan yang mencukupi dan terbaik.

"Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberi bantuan sebanyak RM450 sebulan, Baitulmal RM300 sebulan dan bantuan persekolahan sebanyak RM200 sebulan untuk empat anak Allahyarham yang bersekolah.

"Selain itu, terdapat juga permintaan untuk membaiki dan mengubah suai rumah yang didiami mereka...kita akan menyerahkan perkara tersebut kepada Pejabat Daerah bagi membuat penilaian untuk lihat kemudahan bersesuaian dan ini juga kita akan percepatkan bagi memastikan anak-anak ini tinggal di kediaman yang lebih selesa,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa kira-kira sejam menziarahi enam beradik itu di sini, hari ini.

Aminuddin berkata selain itu, kerajaan negeri juga akan melihat keperluan yang diperlukan enam beradik ini dari semasa ke semasa. 

Katanya ketika ini, enam beradik ini dijaga ibu saudara mereka Nor Azila Sahran, 38, yang turut mempunyai enam anak berusia dua hingga 18 tahun.

"Ini menjadikan ibu saudara mereka menjaga 12 orang anak dalam sekelip mata selepas anak-anak saudaranya ini kematian ibu mereka. Jadi kita lihat memang perlunya bantuan yang sewajarnya diberikan kepada enam beradik ini agar pendidikan, kebajikan mereka tidak diabaikan.

"Ziarah serta bantuan kepada mereka ini bukanlah yang terakhir dan kita juga berharap perjalanan menjaga enam beradik ini oleh ibu saudaranya dipermudahkan sehingga mereka mampu berdikari," katanya.

Beberapa hari lepas, tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp yang menceritakan mengenai kisah sedih menimpa enam beradik ini yang kehilangan ibunya dalam satu kemalangan jalan raya sementara bapa mereka kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel