Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kurang pengunjung di bazar Ramadan @ Jalan Raja fenomena biasa awal Ramadan - DBKL


Tarikh kemaskini: 07/05/2019





KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Situasi lenggang tanpa pengunjung di Bazar Ramadan @ Jalan Raja pada sebelah pagi dan awal Ramadan adalah fenomena biasa setiap tahun. 

Pengarah Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Norhaslinda Nordin berkata keadaan itu tiada kaitan dengan unsur boikot dan ia akan berubah menjelang seminggu Ramadan.

"Bazar Ramadan @ Jalan Raja beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam sepanjang Ramadan dan kebiasaannya dikunjungi pada lewat petang hingga ke malam kecuali hujung minggu. Jadi tidak nampak di sini peniaga-peniaga memboikot tapak ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jelas Norhaslinda, Bazar Ramadan @ Jalan Raja adalah khusus untuk jualan persiapan menyambut hari raya seperti pakaian, perhiasan dan aksesori diri dan rumah serta makanan kering berbungkus. 

"Tiada juadah berbuka puasa serta aktiviti memasak dibenarkan di lokasi berkenaan. Bagaimanapun, pengunjung boleh membeli juadah berbuka puasa di tapak bazar sedia ada di Lorong Tuanku Abdul Rahman. 

"Pengasingan ini bertujuan untuk memberi keselesaan kepada peniaga dan memudahkan kawalan dari segi kebersihan dan mutu makanan yang disediakan dilakukan," katanya. 

Sementara itu, Norhaslinda menjelaskan kesemua 344 lot tapak bazar telah ditempah dan tiada kekosongan sehingga kini memandangkan kesemua peniaga telah membayar wang cagaran yang ditetapkan. 

"Peniaga diberi masa selama tiga hari mulai 5 Mei untuk memasuki tapak yang telah ditetapkan dan kegagalan melakukannya akan menyebabkan tapak itu ditarik balik dan nama mereka disenarai hitam. 

"Peniaga juga bakal kehilangan wang cagaran sebanyak RM1,000 dan tapak itu akan ditawarkan kepada peniaga lain," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan galakkan pihak swasta ketengahkan ilmu robotik di sekolah tahfiz

 
     

Sultan Ibrahim lancar buku Kembara Mahkota Johor 2001-2018

 
     

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel