Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kastam Johor patahkan cubaan seludup arak, rokok, mercun bernilai RM2.142 juta 


Tarikh kemaskini: 07/05/2019





JOHOR BAHRU, 7 Mei (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri berjaya mematahkan cubaan menyeludup serta merampas pelbagai minuman keras, mercun dan rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM2.142 juta termasuk cukai di tiga lokasi berasingan, di negeri ini, sehingga semalam.

Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamidan Maryani berkata serbuan terbabit dilakukan pada 3 Mei dan semalam oleh Bahagian Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Gelang Patah, hasil maklumat orang awam.

Katanya, kesemua barang rampasan berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

Menurut beliau, pada serbuan pertama empat hari lepas (3 Mei), pihaknya menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Bukit Indah, pada 2.45 petang, dipercayai dijadikan stor penyimpanan sementara.

“Hasil pemeriksaan kami mendapati terdapat tiga komoditi barang iaitu minuman keras, rokok dan mercun. Bagi minuman keras, kami merampas sebanyak 3,854.24 liter bir; 1,509.05 liter likour import dan 372.85 liter likour tempatan.

“Kami turut merampas 383,600 batang rokok putih dan 704 kilogram mercun. Kesemua barang rampasan ini bernilai RM79,719.58 dengan cukai terlibat iaitu sebanyak RM461,917.48,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan itu, tiga lelaki yang berada di premis berkenaan berusia 26 hingga 39 tahun ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan kes tersebut.

Kes disiasat mengikut Sesyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Sesyen 34 (1) Akta Eksais 1976.

Dalam serbuan kedua awal pagi semalam, Mohammad Hamidan berkata pihaknya menahan sebuah lori di Jalan Susur 1, Kampung Sri Paya dekat Kulai, serta menyita 100 master case (kotak rokok besar)  iaitu satu juta batang rokok putih jenama Canyon bernilai RM80,000 dengan nilai cukai RM668,000.

Dalam kes itu, turut ditahan, seorang lelaki berusia 52 tahun iaitu pemandu lori.

Kes disiasat mengikut bawah Sesyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Mohammad Hamidan berkata pihaknya juga menemui sebuah lori yang diletakkan di tepi Jalan Sri Putri 3/1 dekat Kulai pada 6.30 petang semalam.

“Hasil pemeriksaan lori yang tidak berkunci dan tiada pemandu itu, kami menemukan sejumlah 114 master case (kotak besar rokok) berjenama VSON Virginia Blend atau 1,140,000 juta batang dengan nilai rampasan RM91,200 dan cukai sebanyak RM761,520,” katanya.

Mohammad Hamidan berkata pihaknya percaya kesemua sindiket penyeludupan menggunakan jalan air dan darat dalam aktiviti mereka.

“Ini rampasan terbesar dalam minggu pertama bulan ini sahaja. Rampasan bagi ketiga-tiga kes bernilai RM250,919.58 dengan cukai terlibat iaitu RM1.9 juta (kesemuanya berjumlah RM2.142 juta).

“(Bagaimanapun) ketiga-tiga sindiket itu dipercayai tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain dan kami masih menyiasat sejak bila sindiket ini mula aktif,” katanya.

-- BERNAMA  

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel