Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penjawat awam bantu kerajaan PH laksana pentadbiran negeri dengan lancar


Tarikh kemaskini: 07/05/2019





ISKANDAR PUTERI, 7 Mei (Bernama) -- Sokongan penjawat awam terhadap pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi tempoh hampir setahun mentadbir negeri ini, dilihat memberi kelancaran pada setiap pelaksanaan program yang dirancang di Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata meskipun menghadapi pelbagai cabaran sebagai kerajaan baharu, usaha kerajaan negeri selama setahun ini telahpun memberikan kesan dan impak yang positif.

"Apa yang saya faham, perubahan sedang berlaku di Johor ini mendapat kesan positif daripada masyarakat dan kakitangan awam. Jadi, saya menyeru kepada semua masyarakat untuk terus mengekalkan permuafakatan bagi merealisasikan matlamat Malaysia Baharu yang dibawa oleh kerajaan PH.

"Saya sedar bahawa rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap pentadbiran baharu pada hari ini. Jadi kami akan berusaha dengan hubungan yang rapat antara kerajaan negeri, agensi kerajaan dan masyarakat, kita akan bawakan lebih banyak lagi pembaharuan yang dapat dinikmati masyarakat," kata beliau dalam satu temubual khas sempena setahun PH memerintah Johor, baru-baru ini.

Menurut beliau, pelbagai dasar, pelan dan inisiatif juga sudah dirangka, sekaligus menunjukkan kerajaan PH serius dalam usahanya membangunkan negeri ini dan membela rakyat Johor.

"Saya serta seluruh pemimpin PH menyimpan hasrat menjadikan era Malaysia Baharu ini mampu mengubah dan melonjakkan Johor ke tahap negeri yang disegani kerana kerana kemakmuran ekonomi, rakyat berbudaya, melahirkan modal insan yang seimbang dan pembangunan yang lestari," tambah beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong itu dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang ke-17 pada 14 April tahun ini, menggantikan Datuk Osman Sapian, yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada 8 April, 2019.

Ketika ditanya mengenai tugas baru sebagai Menteri Besar, Dr Sahruddin mengakui beliau gentar memandangkan tanggungjawab itu satu amanah yang besar bagi dirinya.

"Saya rasa kalau kita dapat memegang amanah itu dengan jujur, baik dan berintegriti, insya-Allah tidak ada masalah. Siapa pun, tiba-tiba mendapat jawatan baharu lebih tinggi (pasti gentar), yang penting amanah, kita bekerja untuk rakyat.

"Amanah, bekerja untuk rakyat, kurangkan berpolitik dan waktunya untuk bekerja," kata Dr Sahruddin.

Meskipun kerusi Menteri Besar dilihat sebagai "kerusi panas", yang penting baginya adalah untuk terus mengharmonikan hubungan antara kerajaan negeri dan pusat.

"(Yang penting), macam mana kita ahli politik, barisan Exco dapat bekerjasama dengan baik bersama semua penjawat awam dan bagaimana kita memastikan rakyat dapat menikmati apa pun program dan perancangan yang kita tetapkan," kata beliau.

Beliau juga melahirkan kesyukuran, sepanjang memegang portfolio sebagai Pengerusi Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, semua agensi di bawahnya memberi kerjasama yang amat baik dan tiada satu pun idea atau pandangannya yang tidak diterima dan terjalin kerjasama erat dengan mereka.

Pengalamannya sebagai doktor perubatan yang sering mendekati masyarakat, juga akan digunakan sebaik mungkin bagi menyelesaikan permasalahan rakyat.

"Dulu saya ada klinik, klinik saya berdekatan warung dan masjid, jadi konsep kita, ada klinik, kita mudah ke warung dan masjid, masyarakat akan suka pada kita. Sebetulnya, itu cara saya supaya masyarakat tidak kekok dengan MB.

"Bila kita mudah mendekati mereka, akan lebih senang dapat maklumbalas daripada rakyat," kata beliau.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel