Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Setahun Malaysia Baharu, Transformasi Pertanian


Tarikh kemaskini: 09/05/2019





Oleh Mohamad Letfee Ahmad

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membawa usul meminda Akta Perikanan pada sidang Dewan Rakyat akan datang bagi membolehkan nelayan tempatan memasuki laut dalam.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata ini bagi membuka peluang kepada para nelayan menceburi industri penangkapan ikan tuna yang merupakan antara industri terbesar dunia.  

“Kita akan berikan permit dahulu, tetapi kita perlu menunggu untuk parlimen pada sesi akan datang bagi meminda akta perikanan kita untuk membolehkan nelayan kita pergi ke lautan lepas.  Ini saya boleh nampak antara masa depan industri yang boleh memberikan pulangan yang cukup baik sebab industri tuna ini ada potensi pada peringkat antarabangsa,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Setahun Malaysia Baharu: Transformasi Pertanian’ di sini malam tadi.

Selain itu, katanya, kementerian  sedang mencari model terbaik bagi menggantikan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang akan tamat konsesinya pada 2021.

Salahuddin berkata modul itu belum dapat dimuktamadkan lagi kerana ia perlu dibahaskan pada lapan peringkat kementerian.

Antara pendekatan yang mungkin dibincangkan adalah mencadangkan agar 30 atau 40 peratus daripada keuntungan Bernas disalurkan kepada petani melalui satu tabung amanah.

“Mungkin Bernas masih perlu lagi memegang saham dalam peratus-peratus tertentu.  Kita perlu cermat kerana ini ada kaitan dengan keselamatan makanan.  Mungkin 30, 40 peratus daripada keuntungan Bernas itu kita masuk ke dalam tabung amanah yang  boleh terus sampai kepada golongan petani termasuk nelayan, supaya mereka dapat merasai, bukan dalam bentuk tunai tetapi sebagai bantuan untuk menaik taraf bot mereka, sampan, pukat mereka daripada kayu kepada besi atau fiber,” katanya.

Mengenai eksport produk pertanian ke China, Salahuddin berkata kementerian akan memperhebatkan promosi agar durian Musang King, nanas dan nangka madu dapat memasuki  pasaran negara itu.

“Kita dimaklumkan melalui data statistik yang diberikan kepada kita dalam lawatan ke Beijing yang diketuai perdana menteri bahawa daripada 1.4 bilion rakyat China, hanya satu peratus yang baru merasai musang king.

“Jadi kita kena pastikan bahawa integriti industri kita dijaga. Durian kita, musang king, nanas dan nangka muda, tanamlah.  Kita perlu majukan industri ini. Hasilnya mungkin dalam masa lima  tahun lagi,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan galakkan pihak swasta ketengahkan ilmu robotik di sekolah tahfiz

 
     

Sultan Ibrahim lancar buku Kembara Mahkota Johor 2001-2018

 
     

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel