Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan ibu bapa dan pelajar masih rendah


Tarikh kemaskini: 09/05/2019





MELAKA, 9 Mei (Bernama) -- Tahap kesedaran terhadap pematuhan aspek keselamatan khususnya pemakaian topi keledar dalam kalangan pelajar dan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah di negeri ini masih rendah dan kurang memuaskan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Supt Hasan Basri Yahya berkata berdasarkan stastistik Op Didik yang dijalankan di lima buah sekolah sejak tiga hari lepas, sebanyak  216 saman dikeluarkan dan daripada jumlah itu, 194 saman adalah kerana kesalahan tidak memakai topi keledar.

Beliau berkata, ia juga berpunca daripada sikap segelintir ibu bapa atau penjaga yang tidak mengambil berat terhadap aspek keselamatan dan mematuhi undang-undang jalan raya menyebabkan masalah tersebut berlaku, seterusnya mendedahkan mereka dengan risiko bahaya.

"Kesedaran golongan ibu bapa atau penjaga memainkan peranan dan tanggungjawab yang besar kerana pendidikan mengenai perkara berkenaan juga bermula dari rumah. Mereka perlu menunjukkan contoh yang baik serta menasihati anak-anak untuk mengikut peraturan.

“Isu keselamatan merupakan tanggungjawab ibu bapa dan jika berlaku kemalangan yang membabitkan anak-anak mereka, ibu bapa atau penjaga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kanak-kanak 2001," katanya ketika ditemui pemberita selepas Op Didik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengetua SMK Bukit Katil, Abdullah Othman.

Op Didik adalah program kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendidikan Malaysia yang dilaksanakan bagi memberi kesedaran mengenai keselamatan dan kesalahan lalu lintas kepada ibu bapa dan pelajar sekolah.

Hasan Basri berkata antara kesalahan lain yang dikenal pasti dalam operasi itu ialah pelajar tidak mempunyai lesen memandu atau lesen memandu yang tamat tempoh selain tidak mempunyai perlindungan insurans dan sebagainya.

Beliau berkata, pada tahun lepas sebanyak 95 kes kemalangan jalan raya membabitkan pelajar dengan 12 kes kematian direkodkan berbanding tahun 2017 iaitu sebanyak 116 kes dengan 15 kes kematian.

Dalam pada itu, susulan daripada Op Didik, polis trafik berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di Persimpangan Perindustrian di Lebuh Ayer Keroh kerana disyaki membawa dadah.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel