Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Selangor dicadang tubuh RCI siasat isu serta punca gangguan bekalan air kerap berlaku


Tarikh kemaskini: 09/05/2019





KLANG, 9 Mei (Bernama) -- Kerajaan Selangor dicadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu serta punca gangguan bekalan air yang sering berlaku secara lebih mendalam, seterusnya menyelesaikan segera masalah berkenaan.

Cadangan itu disuarakan Presiden Persatuan Perpaduan Sejahtera Kebangsaan, M. Selventiran yang menyifatkan penubuhan RCI berkaitan isu itu sebagai sesuatu yang dilihat perlu dan patut disegerakan, memandangkan gangguan bekalan air di Selangor khususnya di Lembah Klang bukan suatu masalah baharu malah berlarutan sejak 10 tahun lepas.

“Daripada penelitian kami, gangguan bekalan air setakat tahun ini saja sudah 15 kali berlaku dan paling terbaharu, ketiadaan air di banyak kawasan akibat tiga paip utama pecah di Bukit Raja pada Sabtu lepas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

“Sebelum ini, pentadbiran kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak ‘sehaluan’ sering menjadi alasan tetapi sudah setahun kedua-duanya daripada Pakatan Harapan, mengapa masalah air masih sering berlaku? Kami sebagai rakyat Selangor mahukan penyelesaian segera terhadap isu ini,” tambahnya.

Beliau berkata pihaknya menghantar memorandum dua muka surat kepada pejabat Menteri Besar Selangor hari ini bagi menggesa kerajaan negeri supaya segera menyelesaikan sebarang permasalahan yang boleh menyebabkan gangguan bekalan air pada masa depan.

Selain itu katanya, memorandum dua muka surat juga turut dihantar kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) cawangan Klang untuk menggesa agensi berkenaan mengambil langkah yang lebih proaktif dan efisen setiap kali gangguan bekalan air berlaku.

Mengambil contoh Taman Sentosa, Klang yang turut terjejas ekoran insiden tiga paip utama pecah pada Sabtu lepas, beliau mendakwa jumlah lori tangki yang menghantar bekalan air tidak dapat menampung keperluan pengguna di situ.

“Syabas seharusnya mengeluarkan notis gangguan air secara tiba-tiba itu lebih cepat dan meluas. Syabas juga sepatutnya memastikan bilangan lori tangki dihantar ke setiap taman, tiada yang terkecuali, ataupun mewujudkan tangki simpanan air di taman serta kampung bagi memudahkan pengguna.

“Ini kerana gangguan bekalan air amat menyusahkan warga tua, golongan berpendapatan rendah (B40) serta para peniaga makanan yang terpaksa berbelanja lebih daripada biasa,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel