Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PKNS teruskan tradisi dua dekad, edar 12,000 bungkus bubur lambuk percuma


Tarikh kemaskini: 09/05/2019





SHAH ALAM, 9 Mei (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meneruskan tradisi dua dekadnya hari ini dengan mengedarkan 12,000 bungkus bubur lambuk popular Kampung Baru secara percuma kepada pengunjung Kompleks PKNS di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata agihan makanan itu diadakan bersempena Festival Ramadan 2019 (FESTIRA19) yang sedang dianjurkan oleh perbadanan berkenaan sejak 19 April lepas di kompleks tersebut.

Beliau berkata pemberian bubur lambuk secara percuma itu juga dilakukan di dua lagi kompleks milik  PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) iaitu di Kompleks PKNS Bangi dan pusat membeli-belah SACC di sini.

“Pemberian bubur lambuk di Kompleks PKNS Shah Alam dilakukan pada hari ini selain pada 13, 27 dan 30 Mei manakala di Kompleks PKNS Bangi dan pusat beli belah SACC pula pada 9, 16 dan 23 Mei yang mana agihan bermula pukul 4.30 petang.

“Agihan bubur lambuk itu dilakukan dengan kerjasama antara Koperasi PKNS Berhad dan PREC,"  katanya kepada pemberita selepas mengedarkan makanan percuma itu di sini.

Turut mengedarkan bubur lambuk berkenaan adalah Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani.

Beliau berkata Koperasi PKNS Berhad dipertanggungjawabkan untuk membungkus semula bubur lambuk dari Kampung Baru itu sebelum diagihkan kepada orang ramai.

Tambah beliau, PREC memperuntukkan RM66,000 bagi menyediakan sajian pilihan masyarakat pada bulan Ramadan itu yang mana sebanyak 2,000 bungkus diedarkan pada setiap tarikh yang ditetapkan.

“Orang ramai memang menantikan agihan bubur lambuk ini pada bulan Ramadan sehingga ia seperti menjadi tradisi PKNS sejak hampir 20 tahun lalu,” katanya.

Mohd Azizi berkata pemberian bubur lambuk percuma itu merupakan penghargaan pihak PKNS kepada masyarakat terutamanya pengunjung Kompleks PKNS dan pusat membeli-belah SACC kerana sentiasa  menjadikan lokasi itu sebagai tumpuan membeli keperluan Aidilfitri mereka.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     

Yong bercuti, beri tumpuan kepada perbicaraan kes rogol

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel