Bekalan air ke 82 peratus kawasan terjejas pulih - Air Selangor
Tarikh kemaskini: 10/05/2019

SHAH ALAM, 10 Mei (Bernama) -- Sebanyak 82 peratus atau 53 daripada 65 kawasan yang terjejas akibat kejadian paip utama pecah berhampiran Lebuhraya West-Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping Sabtu lepas telah pulih sepenuhnya setakat pukul 12 tengah hari tadi.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata pihaknya sedang mempergiat segala usaha untuk mempercepatkan pemulihan bekalan ke semua kawasan.
"Kami akan terus menggerakkan bantuan lori-lori tangki dengan tumpuan ke kawasan yang masih belum pulih dan meneruskan pengoperasian empat pusat khidmat setempat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Air Selangor dalam kenyataannya berkata bekalan air dijangka dapat dipulihkan sepenuhnya pada Ahad ini selepas kerja-kerja pemasangan dan pengalihan paip utama yang pecah selesai.
Katanya lagi, Air Selangor akan terus menggerakkan bantuan lori-lori tangki ke kawasan yang masih belum pulih dan meneruskan operasi di pusat khidmat setempat di Bandar Sultan Suleiman, Bandar Parkland, Taman Sri Andalas dan Batu Belah.
Insiden tiga paip utama pecah di tapak projek WCE sejak Sabtu lepas menyebabkan hampir 800,000 pengguna di 65 kawasan di Klang terjejas.
-- BERNAMA
|