Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

LZS peruntuk RM4.5 juta sediakan van jenazah kepada 29 masjid di Selangor


Tarikh kemaskini: 10/05/2019





SHAH ALAM, 10 Mei (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM4.5 juta tahun ini bagi menyediakan 29 van jenazah untuk diserahkan kepada masjid terpilih di sembilan daerah negeri ini.

Penyerahan kunci van jenazah kepada pihak pengurusan masjid itu disempurnakan oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail dalam satu majlis di perkarangan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini hari ini.

Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata sumbangan van jenazah itu merupakan antara jenis bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah bagi membantu memudahkan pengurusan jenazah.

“Ia diperuntukkan kepada masjid yang tidak memiliki kemudahan kenderaan untuk menguruskan jenazah terutamanya di kawasan luar bandar selain masjid yang mempunyai kariah yang ramai.

“Sejak tahun 2013 hingga kini, LZS sudah memperuntukkan RM7.2 juta untuk membeli 60 buah van jenazah bagi tujuan sama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci itu, di sini.

Katanya, sumbangan van jenazah itu diharap dapat dimanfaatkan oleh pengurusan masjid dan surau ke arah kebajikan selain mengingatkan pihak terbabit supaya menjaga pemberian itu.

Menurut kenyataan LZS, pemberian 29 van jenazah itu merupakan sebahagian kecil daripada sumbangan zakat di bawah Program Pembangunan Institusi Agama.

Pada tahun ini, sumbangan van jenazah itu melibatkan empat masjid dari daerah Hulu Langat; Kuala Langat (tiga masjid); Sepang (dua masjid); Kuala Selangor (empat masjid); Gombak (tiga masjid); Petaling (enam masjid); Sabak Bernam (tiga masjid); Hulu Selangor (tiga masjid) dan sebuah masjid bagi daerah Klang.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel