Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

NSAM bantu Jonathan, Alia Sazana kumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik


Tarikh kemaskini: 10/05/2019




KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) akan berusaha untuk memastikan dua penembak negara, Jonathan Wong dan Alia Sazana Azahari layak beraksi pada Sukan Olimpik 2020. 

Anggota Jawatankuasa Latihan dan Pertandingan NSAM, Datuk Musa Omar berkata bagi mencapai matlamat itu, kedua-dua penembak berkenaan akan dihantar menyertai beberapa kejohanan antarabangsa bermula bulan ini, bagi mengumpul mata kelayakan sekali gus dapat bersaing pada temasya sukan tersebut. 

Sebelum beraksi pada Sukan SEA di Filipina pada November ini, Jonathan dan Alia Sazana akan menyertai Piala Dunia di Munich, Jerman pada 24 hingga 31 Mei, diikuti Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) di Jakarta, Indonesia (16-26 Ogos) dan Kejohanan Menembak Asia 2019 di Doha, Qatar (3-11 Nov). 

"Saya rasa peluang penembak kita untuk ke Sukan Olimpik 2020 ada, ia bergantung kepada sistem kuota pada setiap pertandingan, mereka tidak semestinya kena jadi juara untuk layak ke temasya sukan tersebut.

"Buat masa sekarang, tiada lagi wakil negara layak ke Sukan Olimpik namun kita mahu pastikan mereka layak melalui kejohanan tersebut tahun ini. Jika tidak, kena cuba di Kejuaraan Menembak Dunia pada Februari tahun depan. Masa yang ada tidak banyak tetapi masih ada beberapa peluang," kata Musa. 

Beliau ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bil 2/2019 yang dipengerusikan Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.

Untuk rekod, kali pertama penembak negara beraksi di temasya Sukan Olimpik adalah pada 2016 di Rio menerusi penampilan Jonathan dalam acara 10m Air Pistol individu lelaki

Mengulas mengenai Sukan SEA yang dijadual berlangsung dari 30 Nov hingga 11 Dis ini, Musa berkata NSAM menyasarkan dua pingat emas pada kejohanan dwitahunan itu. 

Sasaran tersebut sudah pasti diletakkan ke atas bahu Jonathan dalam acara 10m Air Pistol serta Benjamin Khor dan Eng Wei Jin dalam acara Double Trap. 

"Kita akan hantar senarai panjang nama atlet kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) minggu depan. Malaysia dijangka sertai 10 daripada 14 acara yang dipertandingkan pada Sukan SEA nanti.

"Kita hanya akan sertai acara yang ada dalam senarai Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) serta acara menembak pistol kepersisan (precision pistol competition). Acara Benchrest dan Silhouette kita tidak sertai kerana kita tidak pernah praktik," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Perlis mahu pendakwah saudara baharu sentiasa lengkapkan ilmu

 
     

Profesionalisme pakar patologi negara diyakini

 
     

Polis akan panggil penganjur perhimpunan anti-Lynas

 
     

Bacaan IPU di Sri Aman kekal 'sangat tidak sihat'

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel