Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

20 atlet olahraga layak ke Sukan SEA


Tarikh kemaskini: 12/05/2019





Oleh R. Vikneswaran

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Seramai 20 atlet olahraga negara dalam 13 acara melepasi syarat kelayakan ke Sukan SEA Filipina 2019 yang akan berlangsung pada 30 Nov hingga 11 Dis ini.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim berkata dalam usaha mempertahankan lapan pingat emas yang diraih ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi 2017, pihaknya akan merencanakan program latihan yang sesuai.

“Bagi mempertahankan emas, kita perlu mula dengan mengumpul atlet, adakan pemilihan, meletakkan mereka mengikut disiplin, menjadualkan mereka untuk latihan dan pertandingan. Selepas itu, baru kita akan menghantar nama mereka ke Jawatankuasa Pemilihan pada akhir Jun.

“Selepas sekadar meraih tiga emas pada Sukan SEA 2015 di Singapura, atlet kita mempamerkan kebangkitan dengan meraih lapan emas pada edisi 2017. Kini kita kena berusaha keras untuk sekurang-kurangnya mengekalkan jumlah emas itu,” katanya kepada Bernama.

Menurut KOM, antara atlet yang telah layak ke Manila ialah Raja Pecut Sukan SEA 2017 Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa, Muhammad Aqil Yasmin dan Muhammad Zulfiqar Ismail yang telah melepasi catatan masa 10.43 saat dalam acara 100 meter lelaki.

Bagi acara 200m lelaki, pemegang rekod kebangsaan baharu, Russel Alexander Nasir Taib, Jonathan serta remaja terpantas dunia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi telah melepasi had masa 21.26s.

Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli (100m wanita) dan atlet lompat kijang, R. Kirthana turut melayakkan diri.

Pemenang-pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Muhammad Irfan Shamshuddin (lempar cakera), Jackie Wong Siew Cheer dan Grace Wong Xiu Mei (baling tukul besi) turut layak.

Turut layak ialah K. Prabudass (5,000m), Lee Hup Wei (lompat tinggi), Tan Huong Leong, Muhaizar Mohamad (marathon), Iskandar Alwi (lompat galah) dan Muhammad Khairil Harith Harun (jalan kaki 20 kilometer).

Hanya atlet jalan kaki, Elena Goh meraih emas acara jalan kaki 10km merupakan satu-satunya pemenang pingat emas pada edisi lalu negara yang belum melepasi syarat kelayakan setakat ini.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel