Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tindakan terhadap doktor sokong anti vaksin bawah bidang kuasa MMC


Tarikh kemaskini: 13/05/2019





KLANG, 13 Mei (Bernama) -- Sebarang tindakan terhadap mana-mana doktor yang dikesan menyokong kumpulan antivaksin adalah di bawah bidang kuasa Majlis Perubatan Malaysia (MMC), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun kata beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau perkembangan kumpulan tersebut dan mengambil pendekatan untuk terus berdialog dengan golongan itu bagi  menimbulkan  kesedaran mengenai kepentingan vaksin kepada semua bayi serta kanak-kanak.

“KKM memang sentiasa memantau sebarang kempen yang dianjurkan golongan anti vaksin ini. Jika mereka mempunyai pendapat mereka (berkaitan suntikan vaksin), kita juga ada hujah kita sendiri.

“Mereka tidak boleh sekadar menyatakan pendapat mereka secara ‘satu hala’ saja, mereka perlu berdialog dengan kita dan kita bersedia untuk berkongsi pentas dengan mereka bagi bercakap mengenai isu ini jika mereka mahu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.

Ditanya mengenai bilangan doktor perubatan yang dikesan oleh KKM menyokong gerakan antivaksin itu, Dr Dzulkefly berkata pihaknya tidak ada membuat pemantauan mengenai isu berkenaan.

Namun katanya, masyarakat digalakkan melaporkan kepada MMC jika mendapati wujudnya dalam kalangan doktor yang menyokong kumpulan antivaksin berkenaan supaya pihak majlis dapat mengambil tindakan sewajarnya, jika perlu.

Mengulas mengenai kertas cadangan oleh KKM yang mahu mewajibkan bayi dan kanak-kanak diberi suntikan vaksin, beliau berkata ia kini berada pada peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

“Saya dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) bahawa jawatankuasa terlibat telah membentangkan kertas cadangan itu kepadanya dan beliau pula akan bentangkan kepada saya, sebelum saya membawanya kepada Kabinet.

Perkara ini tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Banyak aspek yang perlu kita lihat dan ada beberapa isu kritikal yang saling berkait juga perlu diteliti. Apa yang penting adalah kita mahu anak-anak kita selamat dan tidak dijangkiti oleh orang yang tidak divaksin,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mengenai penubuhan pasukan petugas khas bagi merealisasikan cadangan dan dasar untuk mewajibkan suntikan imunisasi vaksin di negara ini akan dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), akhir April lepas.

Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) sebelum ini juga dilapor mendesak kerajaan mewajibkan suntikan vaksin bagi mengurangkan penyebaran penyakit yang dapat dielakkan menerusi vaksin di negara ini.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel