Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada sebarang kenaikan harga dilakukan peniaga bazar Ramadan


Tarikh kemaskini: 13/05/2019





BANGI, 13 Mei (Bernama) -- Tiada sebarang kenaikan harga dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor yang dilakukan peniaga di bazar Ramadan setakat hari ini.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata itu bermakna peniaga di bazar Ramadan di Selangor mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga makanan atau produk dijual, dan pihak kami sentiasa melakukan pemeriksaan berkala di setiap bazar Ramadan di negeri ini bagi memastikan tiada kenaikan harga makanan dan minuman yang dikenakan kepada pelanggan.

“Selain itu, sejak 6 Mei lalu (1 Ramadan) hingga hari ini, 2,869 premis diperiksa di seluruh Selangor. Daripada jumlah itu, satu sahaja tindakan diambil berbentuk amaran kerana tidak mempamerkan tanda harga,” katanya selepas melakukan pemeriksaan berkala di tapak Bazar Ramadan, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, hari ini.

Muhamad Zikri berkata tiada sebarang notis dikeluarkan bagi kesalahan tidak mempamerkan tanda harga mengikut Sekyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan dilakukan sepanjang Ramadan ini, pihaknya mendapati harga juadah ditetapkan peniaga bazar Ramadan adalah terkawal dan sama seperti tahun sebelum ini.

Beliau berkata sehingga kini, KPDNHEP Selangor belum menerima sebarang aduan berhubung makanan dan minuman yang dijual dengan harga tinggi. 

“Bagaimanapun, pemeriksaan tetap dilakukan di semua bazar Ramadan di negeri ini oleh enam cawangan daerah KPDNHEP dengan kerjasama 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor,” katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel