Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MAIWP salur RM 2.1 juta dana kepada 40 NGO Islam Malaysia


Tarikh kemaskini: 14/05/2019





KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menyalurkan sumbangan lebih RM2.1 juta kepada 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Malaysia.

Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussein Abdul Kadir berkata pengagihan dana berkenaan adalah bagi membiayai program dan aktiviti tahunan NGO itu yang memfokuskan program keagamaan seperti dakwah, pendidikan dan kebajikan kepada masyarakat sepanjang tahun ini.

"Kita pilih 40 NGO yang akan menjadi rakan strategik kepada MAIWP dalam usaha menggerak langkah berdakwah bagi menyampaikan amanah Allah SWT kepada masyarakat Islam di negara ini melalui program-program keagamaan dan kebajikan yang dijalankan.

“Kita harapkan mereka mengadakan program-program yang berkesan, mereka bebas untuk mengutarakan sebarang program dan aktiviti, kita tidak akan tapis dan tidak akan mengehadkan mana-mana program.

Tetapi oleh kerana mereka ialah NGO Islam, program yang dilakukan perlulah menepati sasaran yang diharapkan," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Dana Pembiayaan Program kepada NGO Islam Malaysia di sini, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang bertindak sebagai penyelaras bagi memantau dan menyelaraskan setiap program serta aktiviti yang dianjurkan NGO terlibat.

Syed Hussein berkata, pengagihan dana tersebut adalah berbeza kepada setiap NGO bergantung kepada program yang diadakan dan selepas enam bulan NGO itu perlu memaklumkan perjalanan dan keberkesanan program mereka kepada MAIWP.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz berharap NGO berkenaan dapat melaksanakan tugas dan peranan dengan baik dan pihaknya akan menyelia segala program yang dianjurkan NGO berkenaan dengan telus.

Dalam perkembangan lain, MAIWP menyarankan NGO Islam menyantuni artis sebagai langkah mendekati masyarakat dalam menyebarkan ajaran Islam memandangkan mereka mempunyai pengaruh dan peminat yang ramai.

"Mungkin boleh diadakan majlis-majlis keraian dengan artis, kerana kita tahu mereka mempunyai pengikut yang ramai di laman sosial, dan keberkesanan dakwah mungkin lebih meluas," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel