Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Johor dipercayai rugi ratusan juta ringgit akibat penyelewengan pembalakan


Tarikh kemaskini: 14/05/2019





JOHOR BAHRU, 14 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Johor dipercayai mengalami kerugian ratusan juta ringgit akibat penyelewengan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Lenggor dekat Mersing, sejak sekian lama.

Pengerusi Kelab Penyokong Pakatan Harapan Johor Khairuddin A Rahim berkata berdasarkan lawatan beliau ke kawasan berkenaan akhir bulan lepas, pembalakan dengan cara tidak sepatutnya didapati masih berlaku sehingga kini.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang sehubungan itu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor hari ini, supaya siasatan berhubung perkara dapat dilakukan bagi melindungi khazanah negeri.

“Isu penyelewengan pembalakan ini telah saya usulkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 12 Ogos lepas, namun sehingga lawatan saya ke hutan itu akhir bulan lepas, saya dapati amalan pembalakan secara tidak sepatutnya masih berlaku,” katanya yang ditemui pemberita selepas selesai membuat laporan berkenaan di pejabat SPRM Johor di Tampoi, di sini.

Khairuddin yang tiba di SPRM Johor pada 10.30 pagi dan selesai membuat laporan pada kira-kira 1.30 tengahari berkata, kawasan Hutan Simpan Lenggor (compartment 148B) didapati dalam keadaan gondol akibat pelanggaran syarat penebangan pokok seperti pokok kayu tidak bertanda yang masih kecil disyaki ditebang secara tidak sah dan dikeluarkan dengan tidak membayar cukai.

“Penanaman semula juga didapati tidak dilakukan dengan sempurna, manakala pengeluaran kayu-kayu juga disyaki dilakukan secara gelap tanpa membayar cukai kepada kerajaan (cukai terbang),” katanya.

Katanya selain merugikan kerajaan negeri, pelanggaran syarat penebangan pokok turut merugikan rakyat serta alam sekitar sebagaimana semua maklum bahawa hutan simpan merupakan satu kawasan tadahan air bagi mengimbangi struktur alam.

“Ini kali pertama saya membuat laporan kepada SPRM. Saya akan membuat satu lagi laporan mengenai keadaan terkini perkara ini minggu depan. Sekiranya tiada apa-apa tindakan lanjut, saya akan terus melakukan laporan berantai dan mengemukakan usul sekali lagi di DUN Johor Julai ini, sehingga perkara ini diambil tindakan oleh pihak bertanggungjawab,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin perkenan pengerusi jawatankuasa masjid, surau digantung tugas

 
     

Setahun Berbasikal: Tiga anak Malaysia tiba di tanah air

 
     

Penduduk luar bandar mahu keupayaan komunikasi ditingkatkan

 
     

Kapal Jepun JMSDF berlabuh di Pelabuhan Klang

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel