Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MIFF 2019 catat jualan bernilai bilion dolar


Tarikh kemaskini: 14/05/2019





KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF), pasaran terbesar industri itu di Asia Tenggara, mencatatkan peningkatan jualan bernilai bilion dolar untuk kali pertama dalam sejarah selama 25 tahun.

Penganjurnya, United Business Media (M) Sdn Bhd (UBM Malaysia), berkata peserta pameran di MIFF 2019 meraih jualan sebanyak US$1.01 bilion (RM4.21 bilion) dalam tempoh empat hari bermula 8 Mac, meningkat tiga peratus berbanding US$984 juta (RM4.10 bilion) pada 2018.

Prestasi itu dicapai setahun selepas pameran perdagangan itu diperluaskan kepada 100,000 kaki persegi dengan reka bentuk merentasi Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia dan Pusat Dagangan Dunia Putra, katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 600 peserta pameran dari 14 negara – 346 syarikat Malaysia dan 254 syarikat asing – mempamerkan produk dan koleksi baharu di bawah tema “Design Connects People”.

UBM Malaysia berkata MIFF 2019 telah menarik 20,478 pengunjung, termasuk 6,112 pembeli global dari 130 negara dan wilayah, meningkat empat peratus daripada tahun lepas.

Jumlah perdagangan lebih tinggi dari Amerika Utara dan Asia Timur manakala jumlah tersebut kekal stabil dari Asia Tenggara, Asia Selatan, Australasia, Eropah, Afrika and Amerika Selatan, katanya.

“Meraikan ulang tahun kami yang ke-25 dengan pencapaian seperti ini merupakan suatu yang membanggakan. Ia pengiktirafan terbaik pasaran terhadap MIFF, tetapi apa yang membuatkan kami paling bangga ialah kami terus meletakkan pelanggan kami dan keutamaan perniagaan mereka terlebih dahulu walaupun kami berada di landasan yang kukuh,” kata Pengurus Besar MIFF Karen Goi.

MIFF mempunyai platform eksport yang terbesar bagi perabot kayu Malaysia dan perabot pejabat di Asia Tenggara.

Edisi akan datang bagi pameran perdagangan tahunan itu akan diadakan dari 6 hingga 9 Mac 2020, di dua lokasi sama yang telah menarik tempahan semula yang kukuh daripada peserta pameran yang berpuas hati dengan kehadiran pengunjung dan pembeli yang berkualiti tinggi pada tahun ini, menurut UBM Malaysia.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel