Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Anggota panel pelaburan KWAP suarakan kebimbangan terhadap pinjaman SRC - Saksi


Tarikh kemaskini: 14/05/2019





KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini diberitahu bahawa anggota panel pelaburan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) menyuarakan kebimbangan terhadap pinjaman RM2 bilion yang dipohon SRC International Sdn Bhd.

Naib Presiden Jabatan Undang-undang dan Kesetiausahaan KWAP Azlida Mazni Arshad, 47, berkata panel berkenaan membangkitkan enam perkara menjadi kebimbangan yang terdapat dalam kertas pelaburan dibentangkan oleh Pengarah Jabatan Pendapatan Tetap KWAP, Allahyarham Ahmad Norhisham Hassan.

Semasa menjawab soalan peguam Najib, Harvinderjit Singh mengenai kebimbangan panel itu, Azlida Mazni merujuk kepada minit mesyuarat semasa Mesyuarat Pelaburan Khas yang dipengerusikan Pengerusi KWAP Tan Sri Wan Aziz Wan Abdullah pada 19 Julai, 2011.

Harvinderjit: Selain daripada kebimbangan yang dibangkitkan tentang pengurusan SRC, adakah terdapat perbincangan mengenai pelaburan SRC?

Azlida Mazni: Ya.

Harvinderjit: Apabila panel pelaburan menyatakan kebimbangan, adakah daripada semua mereka atau hanya satu atau dua anggota panel?

Azlida Mazni: Seorang dua akan memberikan pendapat mereka dan kemudian disokong oleh yang lain.

Dalam keterangannya minggu lepas, saksi itu berkata antara enam kebimbangan itu ialah cadangan pinjaman RM2 bilion terlalu besar bagi sebuah syarikat dengan modal berbayar RM2.

"Panel itu juga menyatakan kebimbangan terhadap keupayaan dan kredibiliti pasukan pengurusan SRC untuk meneroka ke dalam industri sumber asli yang memerlukan  kemahiran tinggi," katanya.

Jawatankuasa itu pada mulanya meluluskan pinjaman RM1 bilion daripada RM3.95 bilion pinjaman pertama yang dipohon SRC, melalui surat permohonan dua muka surat tanpa maklumat.

Selain itu, beliau berkata panel pelaburan itu juga menyedari tentang risiko yang dikaitkan dengan cadangan pelaburan bagi KWAP, terutamanya risiko pembayaran, “terlebih tumpuan”, negara dan industri.

Saksi ke-35 itu juga bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa panel tersebut sentiasa berhati-hati terhadap pelaburan atau memberikan pinjaman.

Harvinderjit: Jabatan Pendapatan Tetap mencadangkan perlu ada jaminan daripada kerajaan?

Azlida Mazni: Ya

Harvinderjit: Adakah kamu bersetuju bahawa cadangan itu untuk memastikan kepentingan KWAP dilindungi?

Azlida Mazni: Ya

Harvinderjit: Jadi, sama ada jaminan kerajaan atau jaminan korporat dengan Surat Hasrat daripada Kementerian Kewangan Diperbadankan?

Azlida Mazni: Ya

Kepada soalan Harvinderjit sama ada beliau pernah mendengar mengenai dakwaan yang dibuat oleh anggota kanan KWAP kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa pinjaman yang diberikan kepada SRC tidak digunakan mengikut Perjanjian Kemudahan, dan saksi itu berkata: 'Ya'.

Beliau menjelaskan bahawa penggunaan dana yang diberikan kepada SRC adalah terikat oleh perjanjian kemudahan. 

Kemudahan kredit RM2 bilion kepada SRC adalah berdasarkan kepada pembiayaan Islam, Bai al Inah, kontrak jual beli aset patuh Syariah.

Saksi itu juga bersetuju kepada soalan sama ada wang daripada pembiayaan atau hasil pelaburan boleh digunakan untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Harvinderjit: Pada bila-bila masa,  KWAP tidak dapat menentukan sama ada wang digunakan untuk CSR adalah daripada pinjaman atau hasil daripada pelaburan?

Azlida Mazni: Ya.

Pada peringkat ini, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram mencelah dan membantah soalah yang dikemukakan.

"Menyoal saksi mengenai pendapat apabila tiada bukti, saya bantah," katanya yang menyebabkan peguam mengemukakan soalan lain. 

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

 

 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel