Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Piala Sudirman peluang pemain baharu bukti kemampuan - Aaron


Tarikh kemaskini: 14/05/2019





KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Penampilan pemain muka baharu dalam skuad negara pada kejohanan badminton Piala Sudirman 2019 harus dijadikan peluang untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

Bagi pemain beregu lelaki negara Aaron Chia, beliau mengakui sudah tiba masanya untuk pemain baharu menonjolkan potensi mereka di pentas antarabangsa serta memberi saingan kepada pemain terbaik dunia.

Malah, beliau berkata Malaysia yang turun sebagai 'underdog' mungkin boleh melakukan kejutan kerana walaupun dibarisi pemain baharu, mereka pastinya mempunyai semangat juang yang tinggi.

"Pemain baharu yang dalam skuad kali ini adalah pemain terbaik. Semua pergi sebagai underdog.

"Memang kalau kita letak pemain senior, mereka ada penyokong dan peminat tersendiri. Bagi pemain baharu, ini peluang untuk buktikan kepada penyokong dan peminat badminton negara bahawa pemain baharu juga mampu buat kejutan dan boleh memberi tentangan kepada pasukan yang hebat," katanya.

Aaron ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara selepas menjalani latihan menjelang aksi Piala Sudirman dari 19 hingga 26 Mei ini di Nanning, China.

Aaron dan pasangan beregunya Soh Wooi Yik yang membuat penampilan pertama pada Piala Sudirman menjanjikan aksi terbaik mereka apabila berdepan China nanti.

Selain gandingan Aaron-Wooi Yik, satu lagi pasangan negara yang disenaraikan dalam skuad badminton negara ialah Ong Yiew Sin-Teo Ee Yi.

Jika diturunkan, naib juara All England itu dijangka berdepan pasangan tuan rumah China, Li Junhui-Liu Yuchen atau Han Chengkai-Zhou Haodong yang masing-masing berada di ranking ketiga dan ke-10 dunia.

"Dua pasangan yang disenaraikan China adalah lawan yang kuat, masing-masing dalam kedudukan 10 terbaik. Tapi kita akan tampilkan yang terbaik dan kalau boleh dapat kejutkan China.

"Acara berpasukan ini bukan macam kejohanan biasa. Ini kena bekerjasama dengan semua rakan sepasukan macam mana untuk mengawal tekanan," katanya.

Sementara itu, pemain beregu wanita Vivian Hoo pula beranggapan walau apa pun keputusan bakal diperoleh di Nanning nanti, ia boleh dijadikan satu pengajaran buat pemain baharu.

"Pasukan kita dibarisi pemain-pemain muda. Ini satu proses pembelajaran yang baik buat mereka, terutama seperti Lee Zii Jia, Aaron, dan Wooi Yik. Ini masanya bagi mereka menunjukkan kebolehan,” katanya.

Mengenai persiapan beregu wanita, Vivian yang bergandingan dengan Yap Cheng Wen berkata pasukan China merupakan lawan yang kuat dan mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri manakala India pula, beliau menjangkakan perlawanan sengit.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama-sama China dan India. Pada edisi dua tahun lepas di Gold Coast, Australia, skuad negara hanya mara sehingga ke peringkat suku akhir.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah menjuarai Piala Sudirman sejak ia diperkenalkan pada 1989 dengan pencapaian terbaik adalah mara ke separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel